Tun Mahathir Menguji Pandu Kenderaan Sel Fuel

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

Tun Mahathir Test Drove Malaysia’s First Hydrogen Fuel Cell VehicleBANGI, 12 Januari 2015 – Pengerusi Proton dan mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menguji pandu sebuah buggy yang berkuasakan sel fuel apabila melawat Institut Selfuel Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Kenderaan itu yang digerakkan dengan menggunakan sistem kuasa hibrid Proton Exchange Membrane (PEM) sel fuel/superkapasitor adalah yang pertama dibuat dalam negara. Enjinnya mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi daripada enjin kereta biasa, iaitu 50% berbanding 30%.

Kuasa penggeraknya adalah dari timbunan lapisan sel fuel yang menjana kuasa elektrik melalui tindak balas elektrokimia antara hidrogen dan oksigen dari udara pada suhu rendah yang menghasilkan air sebagai sampingan. Kenderaan sel fuel itu  mempunyai pelepasan sifar dan bersih, mesra alam serta lestari.

Ia telah dilancarkan oleh Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh disember lalu.

Dr Mahathir telah diberi taklimat mengenai kenderaan sel fuel hidrogen pertama Malaysia itu. Ia dikuasai sebuah enjin yang dicipta suatu pasukan penyelidik Kumpulan Kejuruteraan dari Proses Sistem Sel Fuel di Institut Selfuel UKM yang diketuai mantan pengarah dan pengasasnya dan kini Felo Penyelidik Utamanya Profesor Ir Datuk Dr Wan Ramli Wan Daud.

Prof Wan Ramli dalam taklimatnya berkata enjin kereta sel fuel mempunyai kecekapan tenaga yang lebih tinggi daripada enjin kereta konvensional, iaitu 50% berbanding dengan hanya 30% untuk enjin biasa. Enjinnya kecil, mudah untuk dikeluarkan serta beratnya hanya 25% daripada berat bateri biasa dengan menggunakan hanya 75% daripada ruangnya.

UKM telah diberi mandat oleh Kementerian Pendidikan untuk mengetuai projek membangunkan kenderaan pelepasan sifar menggunakan sel fuel dengan geran berjumlah RM7 juta untuk 3 tahun.

Prof Wan Ramli berkata pengeluar kereta terkemuka dunia seperti Toyota, Honda, Nissan, Ford, Renault dan GM akan melancarkan kenderaan sel fuel komersial mereka pada tahun ini untuk pasaran yang sudah pun mempunyai infrastruktur bekalan hidrogen seperti Jepun dan Jerman dan bandar-bandar Eropah dan Amerika yang lain termasuk Los Angeles.

Beliau menjangkakan prototaip kereta sel fuel akan direka di Malaysia pada tahun depan dengan kerjasama universiti-universiti lain dalam negara dan syarikat automotif Malaysia.
ukmnewsportal-bm