UKM Bangunkan Alat Pengajaran dan Pembelajaran Al-Quran Braille Bertajwid


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Jun 2019 – Bagi membantu masyarakat Orang Kelainan Upaya (OKU) Cacat Penglihatan mempelajari bacaan Al-Quran dengan mudah, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat (FTSM) dan Fakulti Pengajian Islam (FPI) telah mengambil inisiatif membuat penyelidikan dan mereka bentuk Braille Al-Quran bertajwid dengan tajuk penyelidikan Alat PdP Braille Al-Quran Bertajwid/Jawi.

Projek yang diketuai oleh Prof Dr Khairuddin Omar dari FTSM bersama dua lagi penyelidik iaitu Dr Dahlila Putri Dahnil Sikumbang (FTSM) dan Dr Ahmad Yunus Mohd Noor (FPI) itu merangkumi tiga bahagian iaitu Transliterasi dan Grafik Papan kekunci Braille Al-Quran Bertajwid, Model Alat Tutorial Mempelajari Kod-Kod Braille Al-Quran Bertajwid dan Pembinaan Modul Braille Al-Quran Bertajwid.

Prof Dr Khairuddin berkata, idea tercetusnya untuk membangunkan projek ini adalah apabila melihatkan braille yang ada sekarang ini kebanyakannya tidak bertajwid.

“Golongan ini (cacat penglihatan) perlu dibantu kerana buat masa ini mereka hanya berupaya menghafaz Al-Quran melalui kaedah talaqqi. Al-Quran braille yang kita bangunkan ini menggunakan asas kod Braille Bahasa Arab yang bukan sahaja mewakili huruf-huruf hijaiyyah, tanda baris seperti fathah, dammah, dan kasrah serta simbol-simbol seperti shaddah, sukun, dan mad, malah akan ditambah dengan hukum penandaan di dalam Al-Quran seperti tanda waqaf, bacaan Imalah dan banyak lagi,” jelasnya.

Beliau berkata, pelbagai usaha telah dijalankan oleh badan-badan persendirian seperti Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) dan Malaysia Association for the Blind (MAB) yang menggunakan Al-Quran Braille mudah alih seperti e-Braille Al-Quran, Iqra Braille, Al-Quran Braille Digital dan penggunaan aplikasi perisian NVDA Arabis, namun penggunaannya masih terbatas.

“Jadi, kita bangunkan penyelidikan ini dengan memberi penumpuan kepada aplikasi perisian yang boleh mentranskripsi dan menghasilkan bahan-bahan pengajian Al-Quran braille dengan memperkenalkan kod braille Al-Quran bertajwid/tulisan jawi berasaskan Struktur dan Metode Penulisan al-Quran Braille PERTIS, dan sensitiviti kulit jari untuk menyentuh huruf-huruf Al-Quran yang menggunakan huruf braille untuk meningkatkan kemahiran mempelajarai huruf-huruf ini,” terangnya.

Sementara itu, Dr. Dahlila Putri yang menjalankan projek Model Alat Tutorial Mempelajari Kod-kod Braille Al-Quran Bertajwid berkata, beliau bersama pelajar Doktor Falsafah (PhD), Zaidharon Musa Jawasreh, akan menghasilkan tiga peringkat model braille iaitu huruf jawi, baris (tanda baca) dan tajwid.

Katanya, apabila model braille ini siap, golongan OKU cacat penglihatan akan dapat mempelajari bacaan Al-Quran dengan mudah dengan pengawasan guru yang sangat minima.

“Model ini (Alat Tutorial Mempelajari Kod-kod Braille Al-Quran Bertajwid) mempunyai enam papan kekunci dan enam suis mikro yang memudahkan pengguna mempelajari braille Al-Quran dengan tajwid seperti dalam bacaan sel Braille Bahasa Arab,” katanya.

Model Alat Tutorial Mempelajari Kod-kod Braille Al-Quran Bertajwid direka dengan kos rendah, mudah alih, mesra pengguna dengan kemampuan belajar sendiri dan ujian diri untuk belajar Al-Quran dengan tajwid yang membolehkan para pelajar memperkukuh pembelajaran tanpa memerlukan bantuan guru.

Dr. Ahmad Yunus yang mengetuai projek Pembinaan Modul Braille Al-Quran Bertajwid berkata, bagi pengajian Al-Quran Braille bertajwid, bahan bantu belajar atau modul mengenainya masih lagi kurang dan sukar didapati.

“Ini disebabkan oleh pembinaan modul Al-Quran Braille bertajwid adalah sesuatu yang rumit dan memerlukan penelitian yang sangat tinggi.

“Jadi, kajian yang dilakukan ini melibatkan integrasi modul Al-Quran Braille bertajwid dan terjemahan sebagai salah satu penambahbaikan Bahan Bantu Mengajar dalam program pendidikan khas OKU di Malaysia serta bagi pengajian Al-Quran Braille bertajwid,” katanya.

Beliau yang telah menerbitkan buku Hadis 40 Imam Nawawi Versi Braille itu kini terus memfokuskan kajian untuk menghasilkan modul Al-Quran Braille Bertajwid.

Projek yang menerima Geran Cabaran Perdana bernilai RM350,000 ini telah dimulakan pada Disember 2018 dan dijangka akan siap pada Disember 2020. Untuk projek ini, UKM amat mengalu-alukan pihak industri bersama-sama UKM membangunkan Alat PdP Braille Al-Quran Bertajwid/Jawi ini bagi membantu golongan OKU cacat penglihatan mendalami ilmu Al-Quran dengan lebih mudah.