UKM Bantu Kaji Piawaian Perakaunan Islam

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

PUTRAJAYA, 11 Feb 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) akan menyelidik untuk memiawaikan sistem perakaunan Islam bagi institusi wakaf, zakat dan baitulmal di negara ini.

Menteri Kewangan II, Dato’ Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah berkata piawaian tersebut dibangunkan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh Majlis Agama Islam Negeri dan penyeragaman pelaporan kewangan tahunan terutamanya melibatkan transaksi berkaitan wakaf.

“Piawaian ini akan digunakan memandangkan institusi-institusi itu berada di peringkat negeri kecuali Wilayah Persekutuan yang berada di bawah kerajaan Persekutuan. Jadi bila ada piawaian standard ini, semua (institusi) boleh menggunakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) antara Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) dengan UKM, UIAM dan UUM di JANM di sini pada 4 Feb lepas.

Katanya penyelidikan piawaian tersebut dijangka siap selewat-lewatnya pada penghujung tahun ini sebelum dapat digunakan oleh institusi-institusi tersebut.

Dato’ Seri Ahmad Husni memberitahu bahawa penyelidikan tersebut akan mengenal pasti jurang yang wujud di antara amalan semasa perakaunan dan pelaporan kewangan wakaf, zakat dan baitulmal dengan keperluan piawaian perakaunan Islam.

“Selain itu, ia juga bagi mengenal pasti keperluan syariah dan batas-batas perundangan sivil dalam melaksanakan piawaian berkenaan dan membangunkan kerangka kerja konseptual pelaporan kewangan Islam bagi institusi-institusi tersebut,” katanya.

Beliau berkata penyelidikan tersebut bukan dilakukan untuk kegunaan ketiga-tiga institusi itu semata-mata tetapi bagi memperkukuhkan kepimpinan negara dalam dunia kewangan Islam.

“Lebih-lebih lagi apabila negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) melihat Malaysia sebagai sandaran mereka untuk membangunkan ekonomi di negara-negara Islam,” katanya.

Beliau berkata ketiga-tiga universiti itu dipilih berdasarkan pengetahuan, kepakaran dan track record dalam menjalankan penyelidikan berkaitan dengan perakaunan dan kewangan Islam.

Inisiatif itu juga turut mendapat kerjasama daripada Majlis Agama Islam Negeri, Jabatan Audit Negara, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta Jabatan Wakaf, Zakat dan haji.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05