UKM Bantu Pelajar Terengganu Kuasai Bahasa Inggeris

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA TERENGGANU, 13 Jan 2016 – Program Your Language My Culture (YLMC) yang dinaungi oleh Yayasan DiRaja Sultan Mizan (YDSM) dan dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan dapat membantu pelajar sekolah menengah di Terengganu menguasai Bahasa Inggeris.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata YLMC yang melibatkan para sarjana UKM telah dilaksanakan sejak setahun yang lalu dalam menghasilkan modul bacaan tambahan yang akan digunakan oleh para guru bagi mengajar 9,000 pelajar tingkatan satu di 53 buah sekolah menengah di Terengganu.

“Saya yakin dalam tempoh lima tahun akan datang, semua pelajar tingkatan satu hingga lima akan memperoleh manfaat daripada program ini.

“Saya percaya pendekatan berinovasi yang dipelopori di negeri ini (Terengganu) amat berpotensi untuk diaplikasikan diperingkat kebangsaan malah juga diperingkat antarabangsa,” ujar beliau dalam kata-kata aluan pada majlis Pelancaran YLMC di sini pada 12 Jan lepas.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah berkenan mencemar duli melancarkan program tersebut.

Turut hadir pada majlis itersebut Menteri Besar Terengganu Dato’ Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Yang Di Pertua Dewan Undangan Negeri, Dato Mohd Zubir Embong dan pegawai-pegawai Kanan Kerajaan Negeri Terengganu.

Prof Noor Azlan berkata keunikan program itu adalah penerapan budaya tempatan iaitu budaya dan kehidupan di Terengganu dalam penulisan bahan pengajaran Bahasa Inggeris bagi pelajar-pelajar.

“Melalui kaedah ini, pelajar di Terengganu boleh meningkatkan kemahiran bertutur dalam Bahasa Inggeris dengan lebih berkesan kerana bahan pembelajaran adalah berteraskan nilai dan budaya negeri Terengganu sendiri.

“Penerapan nilai budaya tempatan ini akan dapat mengukuhkan jati diri dan kecintaan kepada negeri dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Katanya YLMC juga mempelopori program ‘UKM untuk Negeri’ atau UKM4State iaitu satu inisiatif baru UKM yang bertujuan untuk memberi tumpuan khas kepada setiap negeri di Malaysia.

“Dengan kerjasama pihak negeri, program pembelajaran, penyelidikan dan khidmat kemasyarakatan UKM akan lebih tersusun berdasarkan keperluan khusus negeri dalam meningkatkan pembangunan sosio ekonomi, kualiti kehidupan rakyat di samping memelihara warisan budaya negeri,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Induk Program YLMC, Prof Emeritus Dato’ Dr Abdul Rahman Embong berkata YLMC merupakan program bacaan tambahan dengan kerangka pengisian budaya tempatan untuk memperkayakan dan menambah kepada bahan yang sedia ada.

“Selain mempelajari Bahasa Inggeris melalui bacaan tambahan dengan contoh-contoh daripada budaya, sejarah, tradisi, dan warisan tempatan, isi sedemikian boleh dimanfaatkan oleh para guru dan pelajar bagi menyertai pertandingan Program Pengukuhan Bahasa Inggeris Piala YDSM,” katanya.

Beliau yang juga merupakan Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), yakin bahawa YLMC akan membuahkan hasil yang membanggakan dan akan mendapat perhatian rakan-rakan lain di Malaysia dan juga luar negara apabila ia selesai sepenuhnya dalam beberapa tahun nanti.

YDSM memperuntukkan RM1.2 juta bagi menghasilkan modul program YLMC sebagai tambahan kepada buku teks Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Buku-buku YLMC diagihkan secara percuma kepada sekolah-sekolah di sekitar Terengganu.ukmnewsportal-bm
02

03

04