UKM Berjaya Bantu Kanak-Kanak Autisme

autisme

Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 April 2015 – Empat kanak-kanak Autistik yang mengikuti pembelajaran di Makmal Pembelajaran Autisme, Fakulti Pendidikan Univeristi Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menunjukkan kemajuan dan di serapkan ke Tadika Tunas Permata UKM pada tahun lepas.

Dua daripada empat kanak-kanak itu dihantar mengikuti Program Khas Integrasi di sekolah aliran perdana awal tahun ini.

Pengarah Permata Kurnia Prof Madya Dr Hasnah Toran berkata kedua-dua kanak-kanak yang mengalami kecacatan Neurologi tersebut telah mengikuti kelas aliran perdana selepas mengikuti pembelajaran di Makmal Pembelajaran Autisme selama enam bulan tahun lalu.

“Pada peringkat awal kanak-kanak ini dihantar ke sini, mereka masih belum boleh membaca tetapi selepas enam bulan, dua daripadanya menunjukkan kemajuan yang baik dan kita hantar mereka ke Tadika Tunas Permata iaitu tadika yang dikendalikan oleh Fakulti Pendidikan UKM.

“Kita bimbang kalau kita tak hantar mereka (kanak-kanak Autisme) ke tempat yang sepatutnya mereka belajar, mereka tidak ada peluang untuk bersosial dan berkomunikasi dengan kanak-kanak normal yang lain,” katanya kepada media selepas majlis Perasmian Hari Kesedaran Autisme di Fakulti Pendidikan UKM di sini pada 19 April lepas.

Beliau berkata pihaknya mensasarkan antara empat hingga lima kanak-kanak Autisme yang sedang mengikuti latihan di makmal pembelajaran Autisme UKM dapat meneruskan pembelajaran di kelas aliran perdana pada tahun hadapan.

“Saya rasa sejak empat tahun kebelakangan ini kita betul-betul menggembeling tenaga untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang Autisme.

“Contohnya pada bulan April 2014, Jabatan Perdana Menteri telah mengadakan seminar Autisme Malaysia. Ada positif dan ada negatifnya. Apa yang berlaku adalah apabila kesedaran mengenai Autisme itu meningkat, ibu bapa sedar yang anaknya ada Autisme dan perlu buat sesuatu dan mereka tercari-cari tempat yang sesuai untuk menghantar anak mereka mendapatkan latihan.

“Sementara kerajaan masih lagi membina perkhidmatan ini, terdapat pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang membuka klinik-klinik palsu dan menawarkan perkhidmatan yang bagi saya adalah membimbangkan,” katanya.

Dr Hasnah berkata terapi-terapi yang digunakan oleh klinik-klinik palsu tersebut boleh membahayakan kanak-kanak tersebut.

“Jadi ibu bapa perlu berhati-hati dengan iklan-iklan di media sosial yang kononnya mereka mempunyai expertise dalam terapi kanak-kanak Autisme, tapi itu sebenarnya mereka hanya nak memerah wang ibu bapa sahaja,” jelasnya.

Katanya secara tidak formal, pihaknya akan memantau kanak-kanak Autisme yang telah memasuki kelas aliran perdana.

“Ibu bapa juga telah bersetuju untuk terlibat dalam penyelidikan kita berkaitan dengan perkembangan anak-anak Autisme. Jadi kita akan pantau mereka secara informal,” katanya.

Sementara itu, seorang bapa yang membawa anak Autisme ke program tersebut, Shahabudin Rashid berkata beliau dapat mengesan anaknya mempunyai ciri-ciri Autisme ketika kanak-kanak itu berumur tiga tahun.

“Saya dapat kesan apabila melihat dia suka bersendiri dan tidak bergaul dengan kanak-kanak lain. Saya dan isteri bekerja. Di rumah dia hanya bersama pembantu rumah sahaja. Mungkin sebab itu dia tak ada pergaulan dalam rumah,” katanya.

Beliau berkata setiap empat bulan beliau akan membawa anaknya, Muhammad Ihsan Shabudin, 6, berjumpa dengan doktor dan melakukan terapi di Hospital Kuala Lumpur.

“Alhamdulillah anak saya dah pandai membaca dan menulis. Cuma cara dia bergaul sahaja perlu saya latih lagi sebab dia memang suka buat hal sendiri,” katanya.

Katanya beliau berharap agar pihak kerajaan dapat memberi peluang dan bantu kanak-kanak Autisme ini dengan menyediakan kemudahan latihan yang bersesuaian kerana kos untuk latihan di luar terlalu mahal.

“Saya juga sangat berharap agar kerajaan dapat memberi peluang pekerjaan kepada kanak-kanak istimewa ini apabila mereka dewasa kelak,” katanya.

Majlis itu telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Pendidikan, Prof Dr Lilia Halim.