UKM Buka Cawangan Kedua Poliklinik UKM Kesihatan


Oleh Alyani Azhar dan Iznee Isa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 11 Julai 2017- Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membuka cawangan kedua Poliklinik UKM Kesihatan di Bangi Avenue baru-baru ini.

Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali yang hadir merasmikan Poliklinik itu berkata pembukaan poliklinik baru adalah salah satu cara untuk memperluaskan perkhidmatan kesihatan UKM.

“Saya melihat semua ini sebagai perkhidmatan universiti kepada komuniti dan berharap agar Allah s.w.t memberkati usaha ini,” katanya.

Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah UKM Holding, Muhammad Ibrahim berkata pembukaan Poliklinik UKM bukan sahaja untuk warga UKM tetapi seluruh penduduk setempat.

“Poliklinik UKM menawarkan harga yang rendah berbanding klinik lain untuk rawatan dan akan dibuka selama 24 jam.

“Ubat-ubatan yang digunakan diyakini selamat kerana diperoleh daripada sumber yang dipercayai,” katanya.

Beliau berkata cawangan baru Poliklinik UKM turut menawarkan perkhidmatan termasuk vaksin untuk demam kepialu (typhoid) dan cirit-birit (Rotavirus) untuk mencegah penyakit seperti TB dan influenza.

“Selain itu, cawangan ini juga turut menawarkan perkhidmatan ultrasound. Kita juga akan menyediakan perkhidmatan x-ray pada masa depan,” terangnya.

Dari segi pengambilan doktor, beliau berkata UKM akan mengutamakan pengambilan doktor dari graduan perubatan UKM, jika layak.

“Tetapi jika permohonan tiada dari kalangan graduan UKM yang layak, kita akan menerima doktor yang diiktiraf dan berdaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) untuk berkhidmat di sini (poliklinik).

Selain di Bangi Avanue, pada tahun ini UKM akan membuka empat lagi cawangan baru di Seremban 2, Putrajaya, Kota Warisan dan Salak Perdana.

UKM telah mempunyai sebuah Poliklinik di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi yang beroperasi 24 jam.

Semua Timbalan Naib Canselor UKM turut hadir ke Majlis Perasmian Poliklinik UKM Kesihatan tersebut.