UKM Dan Boustead Kerjasama Lagi Tingkat Pengeluaran Minyak Sawit

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Izwan Azman

BANGI, 21 Jan 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan meneruskan  kerjasama dengan sebuah syarikat penyelidikan yang bertujuan meningkatkan hasil minyak sawit untuk Boustead Plantations Berhad, salah satu syarikat perladangan minyak paling berpengalaman di negara ini.

Memorandum Perjanjian (MoA) bagi matlamat tersebut ditandatangani hari ini antara UKM dan Advanced Agriecological Research Sdn Bhd (AAR), cabang penyelidikan Applied Agricultural Resources Sdn Bhd.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar mewakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali sementara Ketua Pegawai Operasi Boustead Plantations Bhd merangkap Pengarah AAR Chow Kok Choy menandatangani perjanjian tersebut.

Sekumpulan penyelidik dari Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) UKM yang diketuai oleh Dr Syarul Nataqain Baharum akan melakukan penyelidikan untuk universiti.

Projek ini bermula dengan kemajuan yang dicapai dalam analisis parasit kulat, Scytalidium parasiticum, yang diasingkan daripada kulat lain yang menyebabkan reput pangkal batang kelapa sawit di Johor. Scytalidium parasiticum adalah kulat yang memakan kulat lain.

Dalam kata-kata aluannya, Prof Mazlin berkata perjanjian itu sebenarnya adalah susulan daripada projek yang dijalankan oleh Dr Syarul Nataqain bersama dua kumpulan penyelidik dari AAR, Dr Tasren Mahamooth dan Goh Yit Kheng.

“Berdasarkan kejayaan awal projek ini, kumpulan penyelidikan Encik Goh mahu meneruskan kerjasama penyelidikan ini dengan platform kepakaran  metabolomik yang didapati di INBIOSIS. Di samping itu, kumpulan penyelidikan Dr Tasren juga berminat untuk bekerjasama dalam penyelidikan dan hasilnya  majlis menandatangani perjanjian kerjasamahari ini,” jelas Timbalan Naib Canselor.

Beliau berkata perjanjian itu meliputi tiga projek yang menyusul kejayaan awal:

  • Pengesanan dan pengukuran fitokimia kelapa sawit, atau sebatian kimia yang berlaku secara lazim dalam tumbuh-tumbuhan
  • Mengukur berapa banyak nitrogen ditukarkan kepada ammonium di pokok-pokok kelapa sawit
  • Mengenal pasti banyak mana nitrogen berubah menjadi ammonium dalam kultur tisu kelapa sawit.

Chow, dalam ucapan beliau sebelum menandatangani perjanjian itu, berkata ketiga-tiga projek adalah penting untuk Boustead untuk membendung parasit  kulat yang mengancam pokok kelapa sawit, dan akan membantu menghasilkan minyak sawit berkualiti tinggi.

“Kami mahu mengembang ke sektor pengeluaran makanan. Kita perlu mempunyai lebih banyak kerjasama antara sektor swasta dan institusi penyelidikan awam. Kami tidak mempunyai cukup pakar Bio-teknologi, jadi kerjasama ini adalah sangat penting.

“Beberapa kajian yang dilakukan oleh ahli-ahli sains di UKM boleh digunakan untuk industri kita, dan tidak terdapat di tempat lain. Saya telah melihat penyelidikan pertanian lain yang dilakukan di luar negara. Kita boleh menjalin  kerjasama yang serupa di Malaysia,” kata beliau.

AAR adalah anak syarikat Boustead Holdings Berhad dan Kuala Lumpur Kepong Berhad, dua syarikat gergasi yang tersenarai di papan utama Bursa Malaysia.

AAR mengurus lebih daripada 360,000 hektar ladang kelapa sawit, getah dan koko di Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Indonesia.ukmnewsportal-bm
02

03