UKM dan DNA Jalin Kerjasama Penyelidikan Penambakan

1
Oleh: Nastura Nasir
Pix: Shahiddan Saidi

BANGI, 20 Julai 2016 – Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali dan Dato’ Ir Dr Nik Mohd Kamel Nik Hassan, Pengarah Urusan Dr. Nik & Associates (DNA) telah memeterai perjanjian persetujuan (MoA) dalam usaha memperkasakan ilmu melalui kerja-kerja penyelidikan berasaskan penambakan tanah dan industri.

Berucap di majlis tersebut, Prof Noor Azlan berkata kerjasama ini memperlihatkan kepercayaan yang diberikan oleh pihak DNA kepada UKM.

Melalui perjanjian tersebut, pihak DNA telah bersetuju untuk menaja jawatan Profesor Alam Sekitar Wan Fatimah di UKM dengan jumlah sumbangan sebanyak RM728,000 bagi tempoh dua tahun.

“Jawatan ini yang akan disandang oleh Prof. Dato’ Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah, Pengarah Institut Perubahan Iklim UKM, adalah bertujuan untuk menggalakkan pengembangan penyelidikan dan pengajaran dalam bidang kelestarian alam sekitar,” katanya.

Menurut Dato’ Nik, antara projek yang bakal merealisasikan perkongsian kepakaran ini adalah projek penambakan bagi pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor.

 “Menerusi idea ini bahan korekan (dredged material) dari Sg. Pulai akan digunasemula untuk dijadikan sumber bahan tambakan (fill material) untuk kerja-kerja penambakan. “

 “Kawasan seluas satu ekar ini akan dijadikan projek rintis untuk menguji keberkesanan penggunaan kaedah penambakan menggunakan spoil material atau kaedah kitar semula,” katanya.

Tambah beliau lagi, kaedah dan teknologi penambakan seperti ini telahpun diamalkan secara meluas di Tianjin, China namun, belum pernah dilakukan di Malaysia setakat ini.

Justeru, pihak DNA bersama-sama dengan pasukan penyelidik yang diketuai oleh Prof. Dato’ Dr. Sharifah Mastura Syed Abdullah akan menggembling tenaga untuk menjayakan penyelidikan ini yang dijangka mampu mengurangkan kos keseluruhan penambakan kerana sisa korekan tidak akan dibuang sebaliknya digunasemula.

UKM dan DNA telah menjalin kolaborasi dalam pelbagai projek penyelidikan dan khidmat rundingan, khususnya kepada pemuliharaan alam sekitar pesisir pantai dan kawasan sensitif alam sekitar yang bernilai tinggi.

Hubungan kerjasama yang erat ini tidak hanya melibatkan projek dalam negara, bahkan juga melibatkan projek berstatus antarabangsa.ukmnewsportal-bm
2