UKM dan JNU Jalin Kerjasama Tingkatkan Kualiti Akademik dan Penyelidikan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 21 Ogos 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Kejuruteraan Elektronik dan Komunikasi Termaju (PAKET), Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) menjalin kerjasama dengan Universiti Jinan (JNU), China bagi meningkatkan kualiti akademik dan penyelidikan dalam memastikan UKM terus kukuh sebagai sebuah universiti penyelidikan terulung di Malaysia.

Dekan FKAB, Prof Ir Dr Shahrir Abdullah berkata, selain dari sangkutan akademik dan penyelidikan, kerjasama tersebut turut melibatkan penerbitan melalui aktiviti-aktiviti yang bakal dilakukan.

“Antara aktiviti yang akan dilaksanakan ialah pertukaran pelajar, pertukaran staf teknikal dan pentadbiran, menjalankan projek penyelidikan bersama, pertukaran bahan dan maklumat akademik, pengukuhan projek antarabangsa antara rakyat Malaysia dan Republik Rakyat China serta beberapa kerjasama-kerjasama lain.

Terkini, seorang pensyarah dari PAKET iaitu Prof Madya Ir Dr Norhana Arsad telah menjalani sangkutan penyelidikan di JNU,” katanya sewaktu berucap di Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU), di sini.

Katanya, beliau berharap kerjasama itu dapat mengukuhkan lagi hubungan di antara kedua-dua institusi dan dapat membantu meningkatkan penerbitan berimpak tinggi.

“Dalam masa yang sama, ia akan memberi impak yang postif terhadap perkembangan ekonomi Malaysia dan Republik Rakyat China,” ujarnya.

Sementara itu, Profesor Jabatan Kejuruteraan Optoelektronik JNU, Prof Dr Chen Zhe berkata, kerjasama itu sangat bermakna kerana secara tidak langsung ia melibatkan kerjasama antara dua negara.

“Kita dapat bertukar idea dan kepakaran serta mengadakan perbincangan akademik, dan dalam masa yang sama dapat terus meningkatkan kualiti akademik antara kedua-dua institusi.

Saya berharap agar kerjasama ini akan membuahkan hasil yang cemerlang dan menguntungkan kedua-dua buah negara,” katanya.