UKM dan Kerajaan Negeri Sembilan Bakal Jalin Kerjasama Untuk Program Keusahawanan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

SEREMBAN, 21 Februari 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menjalinkan kerjasama dengan Kerajaan Negeri Sembilan dalam membangunkan bidang keusahawanan terutamanya di kawasan luar bandar.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Mohamad Hasan berkata kerajaan negeri berminat untuk menjalinkan kerjasama keusahawanan memandangkan UKM mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut.

“Dalam keadaan sekarang, kita sangat memerlukan kerjasama ini kerana UKM adalah knowledge based.

“Kami mahu melatih masyarakat Negeri Sembilan supaya menjadi usahawan supaya mereka tidak terlalu bergantung kepada kerajaan. katanya semasa Majlis Kunjungan Hormat Pengurusan UKM ke Pejabat Menteri Besar di Wisma Negeri di sini baru-baru ini.

Beliau berkata kerajaan negeri mahu hidupkan semula industri kecil dan sederhana bagi meningkatkan pendapatan masyarakat terutamanya di luar bandar.

“Saya yakin cadangan strategik yang UKM berikan akan memberikan peluang yang baik kepada kedua-dua pihak,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata UKM bersedia memikul tugas dalam membangunkan bidang keusahawanan Negeri Sembilan.

“Kita berasa gembira atas kepercayaan yang diberikan oleh Menteri Besar kepada UKM dalam membangunkan kerjasama untuk bidang keusahawanan,” katanya.

Katanya UKM turut berhasrat untuk menjalankan penyelidikan berdasarkan perkongsian kepakaran, pembangunan modal insan dan kapasiti, peningkatan daya saing dan pembangunan sosio-ekonomi dan kelestarian budaya dan warisan di Negeri Sembilan.

“UKM juga akan mengadakan Hari Negeri Sembilan setahun sekali di kampus Bangi dan menjemput Dato’ Seri hadir memberi syarahan dan berjumpa dengan pelajar-pelajar terutamanya pelajar Negeri Sembilan,” katanya.

Pada majlis itu juga, Dato’ Seri Utama Mohamad turut meluluskan peruntukan sebanyak RM60,000 kepada Penerbit UKM bagi menerbitkan buku ‘Negeri Sembilan: Kaya Kurnia Kaya Budaya.

Prof Dato Seri Dr Noor Azlan berharap agar inisiatif yang diberikan itu akan memberi impak yang besar kepada UKM dan Negeri Sembilan dari setahun ke setahun.