UKM Dan Primeworks Studios Bekerjasama Menerbit Dokumentari Untuk TV3

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

UKM And Primeworks Studios To Produce TV DocumentariesBANGI, 8 Januari 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Primeworks Studios Sdn Bhd sedang bekerjasama untuk menerbitkan siri rencana dan dokumentari untuk disiarkan oleh TV3.

Rencana pertama hasil kerjasama itu bertajuk ‘Ulama Nusantara’ dengan dibiayai oleh Khazanah Nasional sebanyak RM25,000 sudah pun siap. Ia menceritakan bagaimana para ulama sejak berabad dahulu telah mencorak pembinaan tamadun masyarakakat Melayu Islam di Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Rencana itu sedang menunggu kelulusan Khazanah Nasional sebelum disiarkan di tanah air dan Indonesia, kata Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios, Ahmad Izham Omar. Dokumentari itu juga akan dialih bahasa ke bahasa Inggeris untuk pasaran luar negara.

Ahmad Izham memberitahu demikian kepada Portal Berita UKM setelah menandatangani suatu Memorandum Perjanjian (MoA) dengan UKM di sini hari ini. Beliau telah menandatangani MoA itu bersama Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) Profesor Dr Imran Ho Abdullah.

Upacara itu disaksikan oleh Dekan Fakulti Pengajian Islam (FPI) Prof Dr Wan Kamal Mujani serta pegawai-pegawai kanan Primeworks Studios

Jabatan Pengajian Arab dan Tamadun Islam, FPI menyediakan maklumat dan kepakarannya untuk penyediaan skrip dokumentari itu manakala Primeworks Studios melakukan pengambaran.

Prof Imran berkata dokumentari itu menceritakan bagaimana para ulama yang muncul sejak berabad lamanya telah mencorak pembinaan tamadun masyarakat Melayu Islam di semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak.

Beliau memuji Farid Mat Zain dari FPI yang mengetuai pasukan penyelidik serta pelajarnya yang menjalankan latihan amali menyelidik dan mengumpul maklumat untuk rencana itu.

Pengurus Besar Kandungan dan Pembangunan Primeworks, Azhar Borhan memberitahu Portal Berita UKM bahawa Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar mahu dokumentari itu dialih bahasa ke bahasa lain supaya dapat dipasarkan ke negara-negara luar.

Prof Imran memberitahu bahawa UKM dan Media Prima telah bekerjasama menghulurkan bantuan perubatan dan pencegahan penyakit kepada mangsa di negeri-negeri yang yang dilanda banjir.

Kerjasama itu adalah sebahagian daripada inisiatif UKM dan Media Prima untuk membantu masyarakat yang menghadapi keadaan kritikal memandangkan penyakit bawaan air seperti taun, kepialu, leptospirosis, cirit-birit dan penyakit kulit adalah biasa selepas banjir besar demikian.

Media Prima telah memperuntukkan dana permulaan sebanyak RM200,000 dari Tabung Bencana NSTP-Media Prima bagi UKM untuk menjalankan programnya yang memberi tumpuan kepada kesihatan dan kesejahteraan mangsa.
ukmnewsportal-bm