UKM dan USM Hasilkan Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian Pertama di Dunia


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

CHERAS, 12 Julai 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mencipta sejarah apabila berjayA menghasilkan Sistem Gabungan Kes Kesihatan Pergigian (Sistem Casemix MY-DRG®-Oral Health) yang pertama di dunia.

Sistem Casemix adalah sistem klasifikasi pesakit berdasarkan episod rawatan yang diterima setiap pesakit.

Menurut Pengasas Pusat Antarabangsa Casemix dan Pengekodan Klinikal (ITCC), Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dato’ Dr Syed Mohamed Aljunid, sistem yang dibangunkan sejak lima tahun lepas bersama Unit Penilaian Sistem Gabungan Ke, USM adalah yang pertama didunia melibatkan kesihatan pergigian.

“Banyak hospital di seluruh dunia termasuk Malaysia telah menggunakan sistem Casemix, tetapi untuk kesihatan pergigian (MY-DRG®-Oral Health), ini adalah yang pertama di dunia,” katanya selepas Majlis Penutup Persidangan Antarabangsa Pembiayaan Kesihatan kali ke-2, baru-baru ini.

Beliau berkata konsep sistem tersebut adalah bagi memudahkan proses mendiagnosis pesakit pergigian dengan menggabungkan pesakit kepada satu kategori pesakit yang sama.

“Konsep sistem gabungan kes ini mampu memberi manfaat kepada pihak pengurusan hospital bagi tujuan penambahbaikan dalam perkhidmatan dan memperkukuhkan lagi kualiti kesihatan hospital.

“Sistem ini masih lagi dalam bentuk prototaip. Mungkin dalam tempoh satu tahun lagi ia boleh diguanakn secara menyeluruh,”kata beliau.

Sistem Casemix dapat dimanfaatkan bukan sahaja kepada orang awam dalam mendapatkan rawatan kesihatan pergigian yang lebih baik, tetapi juga mampu menjadi tanda aras kualiti dan kuantiti penggunaan sumber dan kos dalam rawatan kepada pihak pengurusan hospital.

Sistem yang bersifat universal itu boleh diubahsuai mengikut kehendak dan keperluan sesebuah hospital di negara negara yang ingin menggunakannya.

Sementara itu, Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata sistem Casemix yang dibangunkan dengan kerjasama kedua-dua universiti itu adalah satu inovasi yang sangat baik dan menjadi penanda aras dunia dalam kemajuan bidang kesihatan pergigian.

“Saya yakin, penghasilan sistem Casemix Kesihatan Pergigian akan meningkatkan lagi pengurusan pesakit dengan lebih berkesan dan efektif,” katanya.

Beliau juga berharap agar pihak pengurusan klinik dan hospital dapat menggunakan sistem tersebut untuk menilai serta menguruskan sumber kewangan hospital dengan lebih baik untuk mencapai objektif perkhidmatan kesihatan yang efisien, berkesan dan berkualiti.