UKM DAN YSC Teruskan Kerjasama Bantu Kanak-Kanak Autistik

02
Oleh Asmahanim Amir
Foto Abdul Raai Osman

BANGI, 13 Julai 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Yayasan Standard Chartered (YSC) akan terus bekerjasama meningkatkan tahap pengetahuan dan kesedaran masyarakat terhadap Autisme.

Bagi tujuan demikian UKM melalui Fakulti Pendidikan telah menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan YSC yang juga telah memberi sumbangan dana  berjumlah RM98,000 kepada universiti tersebut di sini hari ini.

Autisme ialah beberapa jenis gangguan perkembangan otak yang rumit yang mengakibatkan kesukaran dalam interaksi sosial, komunikasi lisan dan bukan lisan dan tingkah laku berulang-ulang.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata MoU tersebut akan dapat membantu UKM dalam memperkasakan lagi usaha university dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap pentingnya dalam memastikan kanak-kanak autisme mendapat pendidikan dan penjagaan yang sempurna.

“Sebagai sebuah universiti penyelidikan, penglibatan UKM dalam bidang autisme adalah melalui penubuhan Makmal Pembelajaran Autisme yang mula beroperasi pada 5 Januari 2009 dan membangunkan model pembelajaran untuk kanak-kanak yang mengalami autisme,” katanya pada majlis tandatangan MoU tersebut.

Beliau berkata kerjasama antara UKM dan Standard Chartered bukanlah baru malah kerjasama itu telah terjalin sejak penghujung tahun 2014.

“Kita juga berbesar hati apabila YSC menyumbangkan dana bagi membiayai operasi makmal dan percetakan lima buah buku berjumlah 5,000 naskah hasil penyelidikan yang dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di makmal,” katanya.

Katanya melalui penubuhan makmal pembelajaran autisme, Fakulti Pendidikan turut menawarkan program Diploma Pendidikan Autisme kepada sesiapa yang berminat.

“Ia adalah program kerjasama antara Fakulti Pendidikan, Fakulti Perubatan dan Fakulti Sains Kesihatan. Untuk kumpulan pertama, kita telah menerima seramai 35 pelajar yang telah mengikuti latihan di sini bermula Januari tahun ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank Malaysia Berhad, Mahendra Gursahani berkata idea untuk laksanakan  kerjasama bersama UKM adalah untuk membantu kanak-kanak yang mempunyai autisme mendapat pendidikan yang sempurna seperti kanak-kanak lain.

“Kita akan mengumpul dana untuk disalurkan kepada golongan yang kurang bernasib baik kerana ia adalah sebahagian daripada inisiatif pelaburan komuniti syarikat kita,” katanya.

Beliau berkata program komuniti yang diberi perhatian adalah program untuk remaja seperti aktiviti-aktiviti bagi menyalurkan perspektif baru terhadap keperluan kanak-kanak yang kurang bernasib baik dan program-program inovatif yang membangunkan pendidikan kanak-kanak tersebut.

“Selain itu kita turut mengetengahkan program kesihatan seperti memberi inisiatif perubatan yang boleh menghentikan penyakit kronik dalam kalangan kanak-kanak yang memerlukan dan mengadakan program yang boleh meningkatkan, menggalakkan dan memberi peluang ke arah kebaikan kesihatan kanak-kanak yang kurang bernasib baik,” jelasnya.

Mahendra berkata YSC turut mengetengahkan program bermanfaat dengan menyediakan program pendidikan percuma bagi meningkatkan keyakinan kanak-kanak serta menyediakan perkhidmatan yang baik yang sesuai dengan kanak-kanak tersebut.

“Target kita adalah untuk give back to the community. Jadi, dana yang kita ada ini akan kita salurkan kepada komuniti yang memerlukan dan kita looking forward to collaborating with UKM.

“Buat masa sekarang, untuk program pengajian tinggi, kita hanya menjalankan kerjasama dengan UKM sahaja, tetapi untuk pengajian peringkat rendah, kita turut mengadakan kerjasama dengan beberapa buah sekolah,” tambah beliau.ukmnewsportal-bm

01

03