UKM di Kedudukan 101-200 Terbaik Dunia Melalui Penyertaan Pertama di THE University Global Impact Rankings

 

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 22 April 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebuah universiti yang memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, telah berdiri seiringan dengan universiti lain di peringkat dunia, seperti yang ditunjukkan dalam Times Higher Education (THE) University Global Impact Rankings, yang baru dikeluarkan. Walaupun ini merupakan kali pertama UKM menyertai THE University Global Impact Rankings, UKM telah menunjukkan prestasi yang baik dalam kedudukan keseluruhan apabila tersenarai dalam ranking 101-200 di seluruh dunia.

Dari 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) yang diketengahkan dalam THE University Global Impact Rankings, UKM telah mengambil bahagian dalam lima ketegori iaitu Kesejahteraan dan Kesihatan yang baik (SDG 3), Pendidikan Berkualiti (SDG 4), Pekerjaan yang memuaskan dan Pertumbuhan Ekonomi (SDG 8), Kedamaian, Keadilan dan Institusi yang Mantap (SDG 16) dan Perkongsian untuk mencapai matlamat (SDG 17).

Di antara 5 SDG tersebut, UKM berada di kedudukan 100 teratas di dunia untuk tiga kategori SDG; iaitu SDG 3, SDG 4, dan SDG 17. Untuk SDG 4, UKM berada di kedudukan ke-46 di dunia. Ini mencerminkan sumbangan universiti terhadap inisiatif pembelajaran sepanjang hayat, penyelidikan berkaitan pedagogi dan komitmen terhadap pendidikan inklusif. Untuk SDG 3 dan 17, UKM berada di kedudukan ke-85 dan ke-92.

Lebih daripada 800 institusi dari 80 negara dan enam benua telah mengambil bahagian dalam ranking untuk edisi tahun ini.