UKM dibangun Hasil Hasrat Rakyat Malaysia


Oleh Nadia Sapuan
Foto oleh Abd Raai Osman dan Shahiddan Saidi

BANGI, 1 Jun 2017 – Tarikh 18 Mei pada setiap tahun merupakan tarikh bermakna bagi setiap generasi di Malaysia kerana hasrat untuk melihat kelahiran sebuah universiti kebangsaan telah tercetus sebelum negara mencapai kemerdekaan.

Demikian menurut Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali ketika menyampaikan ucapan perasmian sempena Majlis Sambutan 47 Tahun UKM yang berlangsung baru-baru ini.

Beliau berkata demi menubuhkan UKM sebagai sebuah universiti yang berkedudukan teguh pada hari ini, para perintis awal UKM sanggup meredah pelbagai ujian dan cabaran dengan hati dan semangat yang kuat.

“Jika diimbas kembali pada ketika itu, tokoh cendekiawan seperti Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid dan Dr Syed Hussin Ali bersama beberapa cendekiawan lain telah menjelajah ke kampung, daerah malah seluruh negeri untuk mengadakan kempen, ceramah dan penerangan berkaitan usaha untuk menubuhkan universiti kebangsaan,” katanya.

Beliau menambah pada awal penubuhan UKM, sarjana UKM menerima cabaran yang cukup hebat dan cabaran tersebut telah mendorong mereka untuk bekerja dengan lebih keras dalam membuktikan kebolehan universiti berteraskan semangat kebangsaan.

“Tetapi selepas 47 tahun penubuhan UKM, kini sarjana UKM menerima pelbagai kepercayaan dan pengiktirafan akademik, penyelidikan dan khidmat masyarakat malah pada hari ini sarjana UKM  mampu mencurahkan kepakaran daripada angkasa hingga ke antartika.

“Ini semua merupakan hasil daripada sifat keterbukaan serta penerokaan yang tinggi warga akademik dalam memberikan ruang untuk UKM menyumbang sebagai pencetus kepada penubuhan universiti serta kolej-kolej universiti baru di Malaysia,” katanya.

Pada majlis itu, beliau turut menyatakan UKM akan terus mengorak langkah untuk menjadi universiti penyelidikan yang terkenal dan sekaligus melahirkan pakar-pakar yang dihormati di peringkat global.

Turut hadir pada majlis itu Tokoh Pengasas Penubuhan UKM, Prof Emeritus Datuk Abu Bakar Abd Hamid dan Dr Syed Hussin Ali.