UKM Jalin Kerjasama dengan 8 Institusi Pengajian Tinggi Malaysia


Oleh Nastura Nasir
Pix Izwan Azman

BANGI, 29 Disember 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama dengan lapan institusi pengajian tinggi di Malaysia yang terdiri daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Antarabangsa INTI (INTI),Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (IUKL), Universiti Multimedia (MMU) dan Kolej Universiti Sains Perubatan Cyberjaya.

Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali berkata, MoU ini adalah bagi menyahut saranan dari amanat YB Menteri Pengajian Tinggi dalam mewujudkan konsep pendidikan fleksibel yang memberi akses kepada sistem pendidikan pada bila-bila masa, tanpa mengira tempat untuk semua lapisan masyarakat.

Melalui kerjasama ini, setiap entiti berganding bahu menyampaikan pengalaman pembelajaran yang unik, berkongsi sumber insan dan kewangan, menjalankan penyelidikan berimpak tinggi bersama-sama, mengeluarkan sijil, diploma dan ijazah bersama.

“Kolaborasi ini membenarkan mobiliti pelajar dan pensyarah serta pengiktirafan bersama kursus-kursus oleh pelbagai universiti dan kolej,” tambahnya.

Prof. Datuk Noor Azlan juga berharap MoU ini dapat memperkasakan kerjasama antara IPT terutamanya yang berada di sekitar Lembah Klang, serta mengurangkan kerjasama dengan IPT luar negara dengan memperakui kehebatan dan kredebiliti IPT tempatan.

Beliau  telah menandatangani MoU ini bagi pihak UKM, manakala setiap IPT lain diwakili oleh Naib Canselor masing-masing.

Turut hadir menyaksikan MoU ini, pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Dato’ Seri Dr. Ibrahim Saad, Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Dato’ Riza Atiq OK Rahmat serta pegawai kanan dari setiap Universiti.