UKM Jalin Kerjasama dengan APMM


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

LANGKAWI, 31 Mac 2017 – Kerjasama di antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) telah diperkukuh melalui Memorandum Persefahaman yang ditandatangani di Langkawi, baru-baru ini.

Dekan Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Prof. Dr. Bariah Mohd Ali berkata kerjasama tersebut akan memberi peluang kepada pelajar dari FSK untuk dapat menjalani latihan industri di APMM.

“Selain itu, pelajar-pelajar FSK akan diberi keutamaan di dalam sebarang temuduga yang dianjurkan oleh APMM,” katanya di Majlis menandatangani MoU sempena Langkawi International Maritime and Aerospace Exhibition 2017 di sini baru-baru ini.

Beliau berkata dari segi penyelidikan, UKM dan APMM bersetuju untuk berkongsi kepakaran.

“APMM akan membenarkan pelajar UKM menggunakan kemudahan mereka seperti makmal dan UKM pula akan memainkan peranan sebagai penasihat untuk sesetengah kes, terutamanya yang berkaitan sains forensik.

“Selain itu, UKM juga boleh menggunakan kemudahan mereka untuk sesi pengajaran dan pembelajaran,” katanya.

Selain itu, Prof Dr Bariah berkata FSK akan membantu APMM dalam meningkatkan mutu pembelajaran warga APMM dengan memberi peluang kepada individu yang layak, untuk melanjutkan pelajaran di UKM.

“Kebanyakan daripada mereka adalah pemegang diploma dan kita akan membantu mereka melanjutkan pengajian ke peringkat ijazah,” ujarnya.

Pada majlis itu tersebut, UKM diwakili oleh Naib Canselor, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali manakala APMM diwakili oleh Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Dato’ Sri Ahmad Puzi Ab Kahar.

Majlis tandatangan tersebut telah disaksikan oleh Menteri Pertahanan, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.