UKM Jalin Kerjasama Strategik dengan Dua Universiti Luar Negara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 3 September 2018 – Untuk memastikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus kukuh sebagai sebuah universiti penyelidikan tersohor di Malaysia, UKM terus menjalinkan kerjasama strategik dengan universiti luar negara.

Terkini, UKM melalui Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) telah menandatangani Surat Hasrat (LOI) dengan University System of Taiwan (UST) dan telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan University of West Bohemia, Republik Czech.

Kerjasama antara UKM dan kedua-dua universiti itu melibatkan pertukaran pelajar dan penyelidik, menjalankan penyelidikan bersama dan pembangunan universiti dalam pelbagai bidang terutamanya penyelidikan.

Pada majlis tersebut, UKM diwakili oleh Pengarah IMEN, Prof Dato’ Dr Burhanuddin Yeop Majlis, manakala UST diwakili oleh Prof Dr Edward Yi Chang; University of West Bohemia diwakili oleh Dr Jan Michalik dan disaksikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof  Dr Mohd Ekhwan Toriman, Prof Madya Dr P Susthita Menon dan Duta Rebuplik Czech ke Malaysia, Rudolf Hykl.

Majlis Menandatangani LoI dan MoU itu diadakan bersama dengan ‘The 2018 IEEE-EDS International Conference on Semiconductor Electronics (ICSE2018) di sebuah hotel di sini.

Pada majlis itu, Prof Dr Mohd Ekhwan berkata, ICSE2018 adalah platform terbaik untuk penyelidik di Malaysia berbincang berkenaan hasil penyelidikan dan bertukar idea baru dengan penyelidik-penyelidik dari negara lain.

“Kepada semua yang terlibat dengan persidangan ini, saya berharap anda akan terus berusaha untuk mencapai kecemerlangan dalam bidang ini.

“Semoga ICSE2018  akan terus memacu lebih banyak persefahaman dan minat komersial terhadap nanoteknologi untuk faedah bersama,” katanya.

Antara negara yang terlibat dengan persidangan ini ialah Filipina, Indonesia, Norway, Jepun, Republik Czech , Taiwan dan tuan rumah, Malaysia.