UKM Julung Kali adakan Latih Amal Serantau bagi Mengesan Tindak Balas Ancaman Sekuriti Nuklear

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 27 Ogos 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Sains dan Teknologi (FST) buat julung kalinya mengadakan Latih Amal Serantau Pengesan dan Tindakbalas Sekuriti Nuklear yang melibatkan tiga negara iaitu Indonesia, Filipina dan Malaysia selaku tuan rumah.

Program itu diadakan bagi membincangkan dan menyemak strategi persediaan negara dan rancangan untuk ketiga-tiga negara tersebut yang berkongsi perairan maritim dalam pengesanan tindak balas kepada ancaman sekuriti nuklear yang melibatkan sempadan maritim.

Program yang dianjurkan bersama antara UKM dengan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), The Global Initiative to Combat Nuclear Terrorism (GICNT) dan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom(AELB) yang pertama kali diadakan diperingkat serantau dan antarabangsa turut berkongsi model untuk kerjasama serantau dan antarabangsa semasa pengesanan dan tindak balas kepada kejadian sekuriti nuklear termasuk struktur penyelarasan, protokol, pelan, dan sumber-sumber yang mengandungi pautan pembuat keputusan dalam sesuatu kejadiaan sekuriti nuklear.

Selain itu, latih amal itu juga bertujuan untuk menganalisis kaedah untuk memulakan dan menyelaras penempatan pengesanan dan tindak balas sekuriti nuklear dengan cara yang tepat pada masanya dan mengenal pasti strategi untuk mengekalkan keupayaan yang menyokong pihak berkuasa sekuriti nuklear, termasuk pengendali operasi, pakar-pakar teknikal, pegawai-pegawai kanan dan protokol yang berkaitan dan peralatan yang digunakan.

Berdasarkan agenda yang dibentang, diharap ketiga-tiga negara dapat menilai tahap kesediaan negara dalam pengesanan dan tindakbalas sekuriti nuklear dalam memenuhi kehendak antarabangsa dan seterusnya dapat memperbaiki kelemahan serta membuat perancangan di peringkat serantau bagi mengatasi masalah tersebut.

Acara itu akan menjadi platform bagi negara ASEAN untuk bertukar-tukar pandangan dan menjalinkan hubungan kerjasama mengenai pelaksanaan operasi kawalan pintu keluar masuk negara dan pengesanan dalaman bagi menangani penyeludupan bahan nuklear dan radioaktif di negara masing-masing.

Selain itu, ia juga dapat mengkaji dan mencadangkan penambahbaikan dalam mengurangkan masalah penyeludupan bahan radioaktif dan nuklear di peringkat serantau.