UKM Kaji Impak Sosial Akibat Penghasilan Bahan Api Jet

1
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Pix Saiful Bahri Kamaruddin

Kuala Lumpur, 10 September 2015 – UKM, melalui Institut Kajian Etnik (KITA), akan menilai kesan pengeluaran bahan api jet penerbangan terhadap penduduk-penduduk tempatan bersama syarikat pesawat terkemuka Airbus Group.

Satu memorandum persefahaman (MoU) ditandatangani antara UKM dan Pusat Inovasi Aeroangkasa Malaysia (AMIC) sebagai sebahagian daripada kerjasama penyelidikan dan teknologi dalam penanaman pantai Alga Makro atau rumpair tropika untuk pengeluaran bahan api jet.

Timbalan Naib Canselor Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar mewakili UKM pada majlis tersebut, yang dilangsungkan di Pameran dan Persidangan Antarabangsa  Produk Eko Greentech, di sini hari ini.

Tiga universiti lain; Universiti Malaya (UM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Nottingham kampus Malaysia juga memeterai MoU dengan AMIC untuk usaha sama ini.

Ketua Pegawai Eksekutif AMIC Shamsul Kamar Abu Samah berkata beliau berharap MoU itu akan membawa kepada projek tersebut menjadi kenyataan, serta pencapaian janji kepada Airbus Group pada tahun 2017.

“Kerjasama ini sejajar dengan komitmen AMIC untuk penerbangan lestari dan akan bertindak sebagai pemangkin bagi pembangunan bahan api bio-jet lestari di Malaysia,” katanya.

Kumpulan Industri-Kerajaan Malaysia bagi Teknologi Tinggi (MIGHT) dalam satu kenyataan berkata UKM mengkaji kesan pengeluaran terhadap masyarakat di sekitar kawasan pemprosesan bahan bakar itu.

“UKM, melalui Institut Kajian Etnik, akan menilai impak sosial alam sekitar berikutan pembangunan industri ini di Malaysia,” katanya.

UM akan menggunakan kepakarannnya, yang termasuk makro alga dan persekitaran laut, dalam pemprosesan bahan api dan konversi.

Menurut MIGHT UMT memberi tumpuan kepada reka bentuk, kejuruteraan dan penggunaan sistem penanaman makro alga tropika di pesisiran pantai  manakala Nottingham University akan memberi tumpuan kepada reka bentuk dan pemodelan tekno-ekonomi dan keadaan taksiran.

Projek penyelidikan akan diterajui oleh anggota pengasas utama, iaitu Kumpulan Airbus, Rolls-Royce dan CTRM (Composites Technology Research Malaysia), sebuah syarikat tempatan yang pakar dalam komposit dan industri aeroangkasa.

Pada awal tahun ini UKM, bersama-sama dengan Airbus Group dan Institut Jerman-Malaysia (GMI) telah memeterai perjanjian dengan AMIC bagi satu projek inovatif yang menggunakan realiti maya untuk latihan dalam program pembuatan aeroangkasa.ukmnewsportal-bm

2

3

4