UKM-Karier Aturkan Latihan Industri Pelajar Dengan Syarikat Global

01
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 24 Feb 2016 – Pelajar-pelajar yang akan tamat pengajian tahun ini harus menggunakan sepenuhnya peluang yang disediakan untuk mula mencari pekerjaan pada masa hadapan.

Mereka boleh mencari tempat untuk latihan amali dengan syarikat-syarikat gergasi antarabangsa sebelum mengenalpasti hala tuju karier mereka, kata Pengarah Pusat Pembangunan Karier Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-Karier) Prof Dr Ishak Yussof.

Kata beliau pihaknya sedang mengaturkan beberapa program supaya mahasiswa/siswi  boleh menghadiri ceramah peluang pekerjaan dan dapat bertemu dengan wakil-wakil syarikat tempatan dan antarabangsa yang sedang mencari bakat-bakat baru di UKM.

Umpamanya, kata beliau, UKM ada kerjasama dengan syarikat gergasi farmasi dan kesihatan antarabangsa  Novartis Corp untuk mencungkil bakat dikalangan para pelajar universiti tersebut.

“Ada lebih kurang 100 pelajar yang datang hari ini untuk interview, walaupun yang berdaftar awal 35 orang. Mungkin pada awal tahun ini apabila baru mula semester agak payah menarik perhatian pelajar-pelajar. Mereka harus merebut peluang ini,” kata beliau selepas perasmian sesi temu duga syarikat antarabangsa Alcon Novartis, anak syarikat Novartis, dengan pelajar-pelajar, di sini hari ini.

Ini sebagai susulan kepada ceramah motivasi yang disampaikan oleh Presiden dan Pengarah Urusan Novartis Corp (M) Sdn Bhd Michaela Dinboeck di UKM pada bulan Disember lalu.

Katanya syarikat tersebut dilantik oleh Kementrian Pendidikan Tinggi untuk mengendalikan program latihan industri untuk mahasiswa dan memberi  taklimat mengenai peluang pekerjaan serta menjadi mentor kepada mereka.

Menurut beliau kebanyakan pelajar yang memohon untuk ditemu duga adalah daripada kalangan fakulti-fakulti Farmasi, Sains Kesihatan dan Kejuruteraan dan Alam Bina.

Beliau berkata Alcon mengendalikan tiga program latihan industri untuk pelajar yang berminat untuk bekerja dalam pembuatan kanta lekap, farmaseutikal dan pemasaran produk mereka.ukmnewsportal-bm

02

03