UKM-KPJHB Jalin Kerjasama Tubuhkan Dana Endowmen Kembangkan Ilmu Perniagaan Perubatan Kesihatan


Oleh Asmahanim Amr
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 Januari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama KPJ Healthcare Berhad (KPJHB) menjalinkan kerjasama bagi menubuhkan dana endowmen KPJHB-UKM bernilai RM1 juta untuk mengembangkan ilmu berkaitan perniagaan dalam bidang perubatan kesihatan.

Kerjasama itu telah dimeterai melalui Memorandum Perjanjian (MoA) bagi tempoh lima tahun yang menumpukan kepada projek penyelidikan bersama bagi enam bidang utama iaitu pengurusan perkhidmatan yang berkualiti, pengurusan bakat, ekonomi penjagaan kesihatan, pelancongan perubatan, disruptive technology dan operasi.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof Ir Dato’  Dr Mohd Marzuki Mustafa berkata, perjanjian itu bertujuan untuk menyediakan dana endowmen bagi program pengembangan ilmu dan penyelidikan berkaitan perniagaan dalam bidang perubatan dan kesihatan, pengurusan dan kepimpinan serta menyokong aktiviti penyelidikan yang dipacu universiti dan penyelidikan dipacu industri, model pembangunan dan pengkomersilan dengan penambahbaikan ketara melalui pelbagai kaedah penyelidikan.

“Melalui hubungan ini, UKM melalui pensyarah terutamanya dari UKM-Graduate School of Business (UKM-GSB) akan memberikan pendedahan kepada pensyarah KPJ University College (KPJUC) untuk menjalankan aktiviti penyelidikan dan pendidikan bagi membantu mendorong mereka lebih berinovasi ke arah meningkatkan kesejahteraan sosial, seterusnya akan dapat memberi sumbangan terhadap pembangunan negara dan masyarakat,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani MoA antara UKM-KPJHB di Bilik Senat, Bangunan Pentadbiran.

Beliau berkata, tiga projek penyelidikan bersama telah selesai dinilai dan diberikan kelulusan untuk menerima dana penyelidikan itu yang melibatkan UKM-GSB, KPJUC, Fakulti Perubatan UKM, Pusat Perubatan UKM dan UKM UNIPEQ.

“UKM sangat teruja dengan hubungan kerjasama ini dan berharap agar ia memberi impak yang positif ke arah mempertingkatkan industri perniagaan dalam bidang perubatan dan kesihatan termasuk medical tourism untuk pembangunan negara dan masyarakat secara amnya,” katanya.

Sementara itu, Presiden KPJHB, Dato’ Amiruddin Abdul Satar berkata, selain endowmen bernilai RM1 juta, KPJHB juga turut menyumbangkan geran penyelidikan sebanayak RM150,000 bagi melancarkan lagi kerja-kerja penyelidikan antara kedua-dua institusi.

“UKM telah memberi sumbangan besar kepada KPJ sejak awal penubuhan KPJ. Kami (KPJ) terhutang budi dan amat berterima kasih kepada UKM kerana kerjasama yang telah terjalin ini akan melahirkan  lebih ramai doktor-doktor pakar di Malaysia.

“KPJUC telah melahirkan sembilan orang doktor pakar dan kami berharap dengan kerjasama ini akan lebih ramai lagi doktor pakar dapat dilahirkan,” katanya.

Beliau juga turut berharap lebih banyak cetusan idea dan pembaharuan dapat diperkenalkan dan dapat mengembangkan lagi perniagaan antara UKM dan juga KPJ.