UKM Lahir Insan Berkepimpinan

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Izwan Azman

BANGI, 26 Oktober 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bukan sahaja berupaya melahirkan pelajar yang cemerlang dari segi akademik malah melatih pelajar menjadi pemimpin yang baik dengan menjadi ejen perantaraan antara pihak pengurusan universiti dengan pelajar.

Demikian menurut Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr Noor Azlan Ghazali selepas menyampaikan watikah pelantikkan kepada barisan MPP sesi 2016/2017, di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, sebagai ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang telah di lantik, mereka  harus bersedia  memikirkan  cara untuk menangani isu dan meletakkan nilai dalam apa sahaja tindakan yang diambil.

“Tahniah dan terima kasih kepada Mantan Presiden MPP sesi 2015/2016 iaitu Muhammad Farhan Khairuddin serta barisan exco kerana telah melaksanakan tugas dengan baik,” katanya.

Tambah beliau, majalah Inspirasi MPP yang diterbitkan jelas terbukti bahawa barisan MPP yang lepas berjaya mengotakan janji dengan menganjurkan pelbagai aktiviti yang menerapkan nilai-nilai positif kepada universiti serta menambahbaik kepimpinan, walaupun tempoh satu tahun itu adalah masa yang amat singkat.

“Saya menaruh harapan yang besar terhadap ahli kepimpinan MPP baharu yang diketuai oleh Zainal Asnawi Asyraf agar dapat memimpin dengan lebih baik serta memahami tujuan sebenar penubuhan MPP.

“Kecemerlangan dalam akademik dapat memberi contoh kepada pelajar lain bahawa saudara saudari mampu memikul tanggungjawab sebagai seorang pemimpin, dengan berfikir secara kreatif dan berani untuk mencabar diri melakukan sesuatu di luar kotak,” jelas beliau.

Beliau berharap kepimpinan MPP baharu itu dapat menggunakan semua peluang yang ada di UKM untuk menjadi graduan yang cemerlang secara menyeluruh dan seimbang.ukmnewsportal-bm
2

3