UKM Lahir Pelajar Holistik dan Seimbang


Oleh Nadia Sapuan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 2 Mei 2017 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sentiasa menggalakkan dan memberi sokongan kepada inisiatif yang boleh melahirkan pelajar yang bersifat holistik dan seimbang.

Pengarah Pusat Pembangunan Mahasiswa dan Perhubungan Alumni (PMPPA), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, untuk mencapai pelan pembangunan pendidikan tinggi Malaysia iaitu melahirkan pelajar yang holistik dan seimbang, UKM sentiasa menggalakkan pelaksanaan program yang berunsur ilmiah di samping melengkapkan rohani dan jasmani pelajar.

“Program ini adalah sebuah program yang bermanfaat dan bermakna kerana ia dapat meningkatkan kemahiran pelajar dalam bidang yang agak serius,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Pertandingan Debat Nuklear Varsiti 2017, baru-baru ini.

Beliau berkata walaupun hampir semua pelajar yang bertanding tidak mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang sains nuklear, namun mereka mampu berhujah dengan baik .

“Pelajar- pelajar kita dapat berhujah dengan baik di atas pentas dan mengeluarkan isi-isi yang bernas dan inilah ciri graduan yang ingin kita hasilkan,” katanya.

Program tersebut bertujuan untuk mengumpulkan siswazah universiti dalam satu platform bagi membahaskan isu-isu semasa nuklear bagi meningkatkan kesedaran tentang kepentingan sains dan teknologi nuklear yang strategik demi pembangunan dan kemajuan negara Malaysia.

Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Nuclear Power Corporation, Dr Mohd Zamzam Jaafar dan  Presiden Persatuan Nuklear Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Aziz Mohamed.