UKM Lahirkan 7,972 Graduan Sempena Majlis Konvokesyen Ke-45


Oleh Engku Shariful Azni

BANGI, 28 Oktober 2017 – Seramai 7,972 graduan telah bergraduasi pada Majlis Konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Ke-45 di Kampus Induk, UKM Bangi, Selangor pada tahun ini.

Daripada jumlah tersebut, terdapat 596 graduan Ijazah Doktor Falsafah, 3,025 graduan Ijazah Sarjana, 204 Ijazah Sarjana Kepakaran Perubatan, 10 graduan Ijazah Sarjana Kepakaran Pergigian, 8 Ijazah Kepakaran Perubatan Lanjutan Dermatologi, 4,025 Ijazah Sarjana Muda, 88 graduan Diploma Pascasiswazah dan 16 graduan Diploma Lanjutan.

Pada majlis konvokesyen kali ini, UKM menganugerahkan dua graduan Ijazah Kehormat yang telah banyak menyumbang kepada universiti dan negara, iaitu Tan Seri Effendi Norwawi (Ijazah Kepimpinan Awam dan Korporat) dan Datuk Seri Ambrin Buang (Ijazah Kehormat Perakaunan dan Integriti).

Turut menerima anugerah Profesor Emeritus sempena majlis tersebut adalah Prof Dato’ Dr Abdul Razak Salleh (Matematik), Prof Datuk Dr Burhanuddin Yatim (Fizik), Prof Dr Rakmi Abduol Rahman (Kejuruteraan Kimia dan Proses) dan Prof Dr Wan Zurinah Wan Ngah (Biokimia) yang masing-masing merupakan bekas ahli akademik UKM yang tidak henti mengharumkan nama univerisiti.

Selain itu, empat graduan juga terpilih untuk menerima anugerah berprestij iaitu dua graduan bagi Anugerah Pelajaran Diraja, seorang untuk Anugerah Naib Canselor, dan seorang lagi Anugerah Tun Razak.

Graduan yang dianugerahkan dengan Anugerah Pelajaran Diraja ialah Abdul Aziz Ramlee Sau, graduan Ijazah Sarjanamuda Sains Dengan Kepujian Cemerlang dalam bidang Bioteknologi Tumbuhan dari Fakulti Sains dan Teknologi dan Choo Wen Chun, graduan Ijazah Sarjanamuda Undang-Undang dengan Kepujian Cemerlang dari Fakulti Undang-Undang di mana amsing menerima Pingat Emas bernilai RM1000, wang tunai RM5000 serta sijil.

Anugerah Naib Canselor diberikan kepada DG Roziekah Ussin, graduan Ijazah Sarjanamuda Undang-Undang denga Kepujian Cemerlang dari Fakulti Undang-Undang yang dihadiahi wang tunai RM2500 dan buku terbitan Penerbit UKM.

Akhir sekali, Ungku Sania Aminah Ungku Mohsin, graduan Ijazah Sarjanamuda Teknologi Maklumat dengan Kepujian Cemerlang dari Fakulti Teknologi Sains Maklumat menerima Anugerah Tun Razak dengan hadiah berupa wang tunai RM5000 dan pingat Tun Razak.

Majlis Konvokesyen UKM Ke-45 berlangsung dari 28 hingga 31 Oktober di Dewan Canselor Tunku Abdul Rahman (DECTAR), UKM.