UKM Lancar Kempen Keselamatan Jalan Raya Tingkat Kesedaran Warga Kampus

1
Oleh Tengku Nursharina Tengku Amri
Foto Izwan Azman

BANGI, 13 Oktober 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan kempen keselamatan jalan raya bagi meningkatkan kesedaran warga kampus tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalan raya.

Timbalan Naib Canselor Hal-ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dato’ Noor Aziah Mohd Awal berkata kempen itu turut menekankan tentang perkara-perkara yang berkaitan lalu lintas khususnya kemalangan jalan raya yang melibatkan warga kampus.

“Kempen ini meliputi aktiviti yang lebih luas seperti penganjuran seminar dan forum, pameran serta pengedaran risalah yang berkaitan keselamatan jalan raya,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada majlis Kempen Keselamatan Jalan Raya UKM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata masyarakat perlu mempunyai sifat bertolak ansur, memandu secara berhemah dan saling menghormati hak pengguna jalan raya yang lain, tidak kira sama ada mereka memandu kenderaan berat, berkereta, menunggang motosikal atau berjalan kaki, kerana ia amat penting untuk menghargai nyawa orang lain.

Sementara itu, Eksekutif Kesihatan Dan Keselamatan Alam Sekitar, Azmi Ahmad berkata kempen tersebut dapat menerapkan nilai-nilai keselamatan dalam diri warga UKM.

“Sekiranya langkah-langkah pencegahan tidak diambil, insiden kemalangan sudah pasti akan terus meningkat setiap tahun,” katanya.

Kempen tersebut telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada Honda, Goodyear, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR).

Turut hadir pada majlis tersebut adalah Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Risiko, Kelestarian dan Kesihatan Pekerjaan (ROSH-UKM), Prof. Dr. Zaidi Isa.ukmnewsportal-bm
2

3

4