UKM Latih 170 Pegawai Kanan Awam Sri Lanka

1

Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 7 Mac 2016 – Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) telah melatih kira-kira 170 Pegawai Kanan Awam dari Sri Lanka dalam perlaksanaan dan perancangan polisi awam, baru-baru ini.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata ini adalah sebahagian daripada inisiatif pembaharuan bagi memperbaiki perkhidmatan awam Sri Lanka.

“Selain itu, kira-kira 80 pegawai kanan dari Sri Lanka telah menghadiri suatu misi pembelajaran di Malaysia sebagai sebahagian daripada kursus mereka di SLIDA (Institut Pembangunan Pentadbiran Sri Lanka) dalam tempoh tiga tahun lalu,” katanya semasa menyampaikan ucapan aluan pada majlis Lawatan Sambil Belajar Pegawai Awam Sri Lanka ke Malaysia di sini pada 22 Feb lepas.

Beliau berkata sebagai sebuah negara membangun, Malaysia dan Sri Lanka berkongsi banyak cabaran yang sama.

Beliau yakin program yang diatur untuk SLIDA oleh UKM-GSB berupaya menyediakan mereka dengan pelbagai pengetahuan dan kemahiran pembelajaran yang boleh diguna pakai apabila mereka pulang ke Sri Lanka.

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka, Ibrahim Ansar menyifatkan SLIDA sebagai berjaya, memandangkan lawatan belajar ke Malaysia yang diadakan sebelum ini agak memuaskan.

“Kami percaya pengalaman Malaysia dalam pembangunan sosio-ekonomi boleh membantu meningkatkan pengetahuan pegawai kami,” tambah beliau.

ukmnewsportal-bm
2

3

4