UKM-MAIK Bekerjasama Bangunkan Komuniti Orang Asli Kelantan


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 21 Mac 2017 – Pemangku Raja Kelantan merangkap Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan, Yang Maha Mulia (YMM) Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra Ibni Sultan Ismail Petra berkenan mencemar duli menghadiri Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) Penyelidikan Pembangunan Orang Asli antara Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), baru-baru ini.

Memorandum itu melibatkan Fakulti Pengajian Islam dan MAIK yang merangkumi penyelidikan membina profil komuniti orang asli, penyediaan modul bengkel melatih jurulatih untuk guru agama serta penggerak masyarakat orang asli dan penyediaan silibus buku Bimbingan Fardu Ain untuk masyarakat Kelantan.

Naib Canselor UKM, Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata MAIK telah memberi sumbangan dana kepada UKM dalam bentuk geran penyelidikan bagi pembangunan komuniti orang asli di Negeri Kelantan.

“Adalah menjadi keutamaan kepada UKM untuk memasyarakatkan segala penyelidikan yang dijalankan selaras dengan peranan UKM sebagai Pendaulat Amanah Negara,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Beliau berkata kerjasama antara UKM dan kerajaan Negeri Kelantan adalah merangkumi Penyelidikan Berdasarkan Perkongsian Kepakaran, Pembangunan Modal Insan dan Kapasiti, Kelestarian Budaya dan Warisan dan Peningkatan Daya Saing serta Pembangunan Sosio Ekonomi.

Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata kerjasama itu adalah sejarah baru bagi MAIK dalam usaha merialisasikan hasrat YMM Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan untuk terus maju ke hadapan dalam memberi sumbangan kepada masyarakat.

“Kita rasa sangat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan UKM yang merupakan salah sebuah universiti elit di negara ini,” katanya.

Beliau berkata kerjasama itu akan memberi kefahaman yang lebih mendalam tentang ajaran Agama Islam kepada masyarakat orang asli melalui program Latihan Amali Dakwah dibawah kelolaan Jabatan Pengajian Dakwah dan Kepimpinan UKM.

MoA itu telah ditandatangani oleh Prof Dato’ Seri Dr Noor Azlan yang mewakili UKM manakala Dr Nik Mohd Azlan mewakili MAIK dan disaksikan oleh YMM Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra.