UKM Menang Anugerah Terbaik dan Tiga Pingat Emas di PECIPTA 2015

01
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

KUALA LUMPUR, 16 Dis 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus melakar kejayaan apabila memenangi satu Anugerah Terbaik dan tiga Pingat Emas pada Persidangan Antarabangsa dan Pertandingan Rekacipta Institusi Pengajian Tinggi (PECIPTA) 2015 yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 6 Disember lepas.

Hasil penyelidikan yang dilakukan oleh Prof Dr Abdul Salim Babji, Prof Madya Dr Ma’aruf Abd Ghani dan Dr Zalifah Mohd Kasim dari Fakulti Sains dan Teknologi (FST) berkenaan dengan sarang burung walit telah memikat hati juri apabila diangkat sebagai pemenang untuk Anugerah Terbaik.

Penyelidikan yang diberi nama Bioactive Swiftlet Nest Capsule –Natural Antioxidant & Anti-Hypertension Capsule merupakan penyelidikan berkenaan dengan makanan tambahan yang dihasilkan oleh bahan semulajadi iaitu sarang burung walit.

Kapsul bioaktif hydrolysates sarang burung walit merupakan makanan tambahan semulajadi yang dibangunkan melalui enzim hidrolisis yang terpilih untuk menghasilkan glycopeptides yang terbaik dengan ciri-ciri praktikal yang tinggi.

Hydrolysates semulajadi itu secara saintifik telah diuji dan didapati mempunyai antioklsidan yang tinggi dengan sifat-sifat antihypertensive.

Penyelidikan itu salah satu alternatif yang bermanfaat kepada mereka yang mempunyai gaya hidup yang sibuk dalam mengekalkan kehidupan yang sihat.

Penyelidikan tersebut turut menerima Pingat Emas bersama dua lagi penyelidikan iaitu A New Double-Negative Metamarial Designfor Electromagnetic Absorption Reduction in Human Head oleh Dr Mohammad Rashed Iqbal Faruque, Prof Dr Mohammad Tariqul Islam dan Prof Ir Dr Mardina Abdullah dari Pusat Sains Angkasa (ANGKASA).

Satu lagi Pingat Emas diperoleh melalui penyelidikan yang dilakukan oleh Prof Dato’ Dr Kamaruzzaman Sopian, Prof Dr Sohif Mat dan Mohd Farriz Md Basar dari Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) dengan tajuk penyelidikan A Simple and Low Cost Z-Blade Turbine for Low Head and Low Flow Pico Hydro System.

Majlis Perasmian Penutup PECIPTA 2015 telah dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Seri Idris Jusoh.

Dalam ucapannya beliau berkata dalam mewujudkan aspirasi menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020, inisiatif untuk membangunkan lebih banyak perusahaan inovasi untuk meningkatkan daya saing negara perlu diberi keutamaan.

“Melalui Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), kerajaan telah mewujudkan peluang-peluang untuk ahli akademik, penyelidik dan industri untuk bekerja bersama-sama dalam aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D).

“Kita (KPT) benar-benar komited untuk menyokong usaha ini dan PECIPTA 2015 merupakan satu contoh komitmen tersebut,” katanya.

Beliau berkata KPT percaya bahawa ahli akademik, penyelidik dan masyarakat berlu bersama-sama dalam memacu pembangunan negara.

“Inilah sebabnya kita memerlukan orang yang mempunyai minda kuat ke arah inovasi,” katanya.

Sebanyak 500 produk daripada 44 universiti awam dan swasta, serta politeknik mengambil bahagian dalam pameran yang diadakan pada setiap tahun.

Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Meneri Pengajian Tinggi, Datuk Mary Yap Kain Ching, Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dato’ Dr Asma Ismail.ukmnewsportal-bm
02

03

04

05