UKM Menangi Empat Anugerah UCTC

1
Oleh Saiful bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 15 Ogos 2015 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memenangi empat anugerah daripada 16 kategori yang dipertandingkan pada majlis Anugerah Penghargaan Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC).

UKM mencapai kejayaan dalam kategori pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Malaysian Advocate for Celebral Palsy, Komuniti, Agensi Kerajaan dan Kesihatan.

UCTC adalah salah satu program di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan yang diselaraskan oleh Kementerian Pendidikan untuk memupuk penglibatan masyarakat antara universiti dan awam.

Projek UKM Malaysian Advocate For Cerebral Palsy (Dr Sazlina Kamaralzaman) mendapat tempat pertama bagi kategori NGO, manakala pemuliharaan kelip-kelip di Kampung Dew di Perak (Prof Madya Norela Bt Sulaiman) sebagai tarikan pelancong memenangi dalam kategori Komuniti.

Dalam kategori agensi kerajaan, UKM muncul juara dengan program Homestay (Prof Madya Dr Notngainy Mohd Tawil) di negeri Kelantan, manakala bagi Kesihatan pula program melatih guru-guru pra-sekolah di kawasan luar bandar untuk menyaring murid bagi kelemahan penglihatan (Prof Madya Datuk Dr Rokiah Omar) mendapat hadiah utama.

Namun demikian sebahagian besar daripada anugerah direbut oleh  Universiti Sains Malaysia (USM) dengan enam hadiah, termasuk projek UCTC Cemerlangan Keseluruhan.

Majlis ini dirasmikan oleh Ketua Setiausaha Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Ir Dr Zaini Ujang.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi , Dato’ Nasir Bin Mat Dam dan Pengerusi Majlis Anugerah Penghargaan UCTC 2015, Prof. Dr. Imran Ho Abdullah yang juga Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat) UKM .

Majlis Anugerah Penghargaan UCTC 2015 yang diadakan bersempena Minggu Pendidikan Tinggi Malaysia 2015 bertujuan untuk memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada program-program komuniti cemerlang dalam mengaplikasikan prinsip Strategi Lautan Biru Kebangsaan iaitu, kos minima, perlaksaan pantas, berimpak tinggi dan mampan.

Sebanyak 16 kategori dipertandingkan melibatkan 186 projek iaitu, Edu Tourism, ICT dan Teknologi, Kebajikan Sosial, Kesihatan, Keusahawanan, Memelihara Warisan dan Kebudayaan Negara, Pembangunan Alam Sekitar, Pendidikan, Pengurusan Risiko dan Bencana, Sukan dan Rekreasi, UCTC-RTC, Agensi Kerajaan, Industri Korporat, Komuniti, NGO dan Persatuan Pelajar.ukmnewsportal-bm

3

4

2

5