UKM, MGBC dan AJIA Berhad Tandatangan MoU Untuk Projek Reka Bentuk Bangunan Penyelidikan Mesra Alam

1
Oleh Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Julai 2016 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Konfederasi Bangunan Hijau Malaysia (MGBC) dan AJIA Berhad (AJIA) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi menjalankan projek reka bentuk bangunan penyelidikan mesra alam (green building) di kampus ini.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar berkata pembinaan bangunan hijau adalah salah satu penyelesaian ke arah kelestarian dalam menampung pertumbuhan ekonomi dan penduduk, dan dalam masa yang sama dapat mengurangkan bahaya kepada alam semula jadi.

“UKM sentiasa mempunyai keutamaan yang jelas dalam memastikan momentum kelestarian akan terus berkembang kerana ia selaras dengan dasar kerajaan.

“MoU ini juga membuka lembaran baru bagi perkongsian antara universiti, industri dan organisasi bukan kerajaan (NGO) dalam pendidikan dan penyelidikan kelestarian,” katanya kepada media pada Majlis Menandatangani MoU antara UKM dengan MGBC dan AJIA di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, melalui kolaborasi tersebut, Institut Penyelidikan Tenaga Suria (SERI) UKM akan berusaha untuk menjadi hab penyelidikan ‘bangunan hijau’ negara.

 “Saya yakin kerjasama antara UKM, MGBC dan AJIA akan memberi nilai tambah kepada kedua-dua industri dan memantapkan lagi UKM sebagai pusat penyelidikan dan pendidikan tinggi dalam membina kecekapan teras dan pengetahuan dalam menyokong MGBC,” terangnya.

Beliau berkata apabila terlaksananya pembinaan bangunan tersebut, ia akan menjadi contoh kepada banyak pihak.

“Konsep yang diketengahkan adalah konsep baru. Ia akan mendapat input daripada penyelidikan dan kajian daripada penyelidik. Apa yang menggembirakan kita adalah ia bakal menjadi satu contoh infrastruktur fizikal yang boleh dilihat oleh kira-kira 28,000 pelajar UKM kelak.

“Bangunan hijau itu kelak akan menjana para graduan yang bersifat lebih hijau dan mesra alam. Itu yang kita harapkan,” jelasnya.ukmnewsportal-bm
2

3