UKM-MPOB Bangunkan Penyelidikan Percubaan Klinikal Fenolik Sawit


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 April 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Perubatan  menjalinkan kerjasama dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dalam menjalankan penyelidikan percubaan klinikal fenolik sawit.

Timbalan Naib Canselor (Hal-ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Madya Dr Roslee Rajikan berkata, kerjasama penyelidkan itu akan menguntungkan negara kerana ia boleh dibangunkan untuk kegunaan insdustri dan rakyat serta pembangunan modal insan terutama kepada graduan ijazah sarjana dan doktor falsafah.

“Selain itu, kerjasama peyelidikan ini juga meningkatkan pembangunan makmal-makmal dan peningkatan kepakaran daripada UKM dan MPOB hasil perkongsian idea, maklumat dan ilmu,” katanya sewaktu berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Penyelidikan Percubaan Klinikal Fenolik Sawit antara UKM dan MPOB di Bilik Majlis, Bangunan Pentadbiran di sini, baru-baru ini.

Beliau berkata, percubaan klinikal fenolik sawit itu akan menggunakan wad percubaan klinikal atau clinical trial ward yang serba lengkap dan disediakan khas untuk kajian percubaan klinikal tersebut.

Jelasnya, Unit Farmakoepidemiologi dan Keselamatan Dadah Fakulti Perubatan adalah sangat aktif dalam menjalankan penyelidikan pembangunan dan pengkomersilan produk kesihatan tradisional dan herba dan beberapa paten produk sudah berjaya dihasilkan dan dalam proses pengkomersilan.

“Memandangkan kerjasama antara UKM dan MPOB telah terjalin kira-kira tiga dekad lamanya, jadi saya ingin mencadangkan penubuhan pusat kolaborasi penyelidikan UKM-MPOB, khususnya dalam bidang kesihatan.

“Insya-Allah pusat ini akan menjadi kenyataan dan dapat berfungsi sebagai asas perbincangan, perancangan dan pelaksanaan penyelidikan-penyelidikan bermutu tinggi yang mebawa manfaat kepada MPOB, UKM dan negara,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pengarah MPOB, Dato’ Dr Ahmad Kushairi Din.