UKM Naib Johan Pertandingan Debat Di-Raja IPT 2018


Oleh Izzul Aniq
Foto oleh Shahidan

BANGI, 17 Julai 2018 – Pasukan debat Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah berjaya meraih tempat kedua dalam Pertandingan Debat Di-Raja antara Institut Pengajian Tinggi (IPT) 2018 yang turut melibatkan 18 buah universiti di Malaysia baru-baru ini.

Debat akhir yang bertajuk Dewan ini Menyokong Liberalisasi Media Bagi Menjadikan Malaysia Lebih Demokratik’telah membariskan pasukan UKM sebagai pihak pembangkang dan pasukan Universiti Putra Malaysia (UPM) selaku pihak kerajaan. Pasukan UPM dinobatkan sebagai juara debat kategori Bahasa Malaysia.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shahri dalam ucapan perasmiannya berkata, budaya debat merupakan sebuah budaya yang wajar dikembangkan dalam masyarakat masa kini.

“Debat juga haruslah diserap dalam nadi universiti sebagai satu format untuk mencari ilmu pengetahuan,” kata beliau.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, latar belakang pendebat daripada pelbagai bidang pengajian menjadikan seni orator ini sebagai batu loncatan untuk mengasah keberanian berucap dan berkomunikasi di khalayak ramai.

“Ini selari dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam memberi peluang para pelajar mengasah kemahiran sahsiah untuk meningkatkan nilai tambah kebolehpasaran mereka.

“Saya berharap dengan asuhan sebegini, negara akan dapat melahirkan lebih ramai bakal-bakal pemimpin yang berwibawa,” ujar beliau.

Muhammad Naziq Abdul Rahman, ketua kumpulan debat UKM menyatakan, rasa syukur kerana berjaya ke peringkat akhir pertandingan tersebut dan beliau berharap agar pendebat-debat UKM terus berjuang untuk menjadi juara pada masa akan datang.

Beliau pelajar tahun empat Fakulti Undang-Undang (FUU) menjelaskan bahawa pasukannya mempunyai komitment harian yang tinggi untuk berlatih, berkomunikasi serta pelbagai proses lain untuk melakukan persediaan untuk pertandingan tersebut.

Dalam pertandingan yang berlangsung selama empat hari bermula 6 Julai 2018 telah mengangkat Fready Luke Kenidy dari Univerisiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) sebagai pendebat terbaik keseluruhan Bahasa Melayu, manakala Pavithra Panir Selvam pendebat UPM dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir kategori Bahasa Malaysia.

Bagi kategori Bahasa Inggeris, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) telah muncul selaku juara setelah menewaskan Universiti Malaya (UM) dalam debat akhir tersebut.

Shahrulbanun Sabri daripada UIAM dinobatkan sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dan Pendebat Terbaik Pertandingan Akhir kategori tersebut.

Johan pasukan masing-masing menerima hadiah wang  tunai RM3,000, piala pusingan, piala iringan manakala naib juara menerima wang tunai RM1,500 da piala iringan.