UKM-PPj Bangunkan Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

PUTRAJAYA, 11 Mac 2019 – 15 penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) telah menghasilkan Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya bagi melahirkan masyarakat yang mempraktikkan nilai-nilai peradaban yang tinggi untuk mencapai kebahagiaan hakiki secara fizikal dan spiritual selari dengan prinsip asas maqasid syariah.

Presiden PPj, Datuk Dr Aminuddin Hassim berkata, blueprint atau pelan tindakan tersebut akan memberi penekanan kepada pembangunan modal insan ke arah kesejahteraan yang sebenarnya.

“Dari segi fizikalnya, Putrajaya telah dirancang dengan begitu rapi dan dibangunkan menjadi sebuah bandar yang begitu indah dengan bangunan yang cantik dan taman-taman serta tasik yang mempesonakan.

“Namun, kejayaan dan kesohoran sesebuah bandaraya tidak lengkap sekiranya penduduk dan komunitinya tidak mempunyai sense of belonging (nilai-nilai kebersamaan) dan tidak mengamalkan cara hidup yang baik iaitu penuh dengan peradaban dan budi pekerti. Bukan sebelum ini tidak bagus, tetapi kita nak tingkatkan lagi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Blueprint Masyarakat Sejahtera Putrajaya di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan kajian yang telah dijalankan, para penyelidik telah mengenalpasti enam teras utama untuk dipegang iaitu Agama, Sosial, Pendidikan, Ekonomi, Gorvanans dan Insfrastruktur Fizikal serta 26 inisiatif bagi tujuan pelaksanaan.

Antara inisiatif itu ialah meningkatkan fungsi dan perana masjid sebagai pusat sejahtera, pendidikan pra sekolah, mengukuhkan interaksi pemimpin dan masyarakat serta menetapkan dasar hiburan Islam.

Melalui pelan tindakan itu, beliau berharap masyarakat Putrajaya dapat mencapai kebahagiaan yang terhasil daripada kesejahteraan hidup dalam masyarakat yang maju dan moden, tetapi pada masa yang sama mempunyai nilai agama yang kukuh, penuh beradab dan berbudi pekerti tinggi.

Sementara itu, Naib Canselor UKM, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, penghasilan blueprint itu menggambarkan keseriusan dan kesediaan UKM untuk memberi kerjasama dalam apa jua bentuk khidmat komuniti dan masyarakat selaras dengan hasrat UKM untuk memasyarakatkan penyelidikan yang dijalankan.

“Saya berharap blueprint ini mendapat kerjasama padu daripada semua pihak dan digarap dengan cara yang terbaik sebagai pemacu dalam menggerakkan perancangan dalam semua dimensi yang telah ditetapkan. Semoga Putrajaya menjadi sebuah bandar yang boleh dicontohi di persada dunia dan antarabangsa,” katanya.

Penyelidikan tersebut diketuai oleh Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar, Datuk Azizi Ahmad Tarmizi dan Ketua Penyelidik Bersama merangkap Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi), Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Madya Dr Salasiah Hanin Hamjah.