UKM Sasar Lantik 26 Profesor Antarabangsa Tersohor


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 16 April 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mensasarkan pelantikan seramai 26 Profesor antarabangsa tersohor untuk berganding bahu dan bersama-sama menerajui serta meningkatkan mutu dan kualiti universiti kebangsaan tersebut.

Naib Canselor, Prof Ir Dr Mohd Hamdi Abd Shukor berkata, UKM perlu membawa lebih banyak kepakaran antarabangsa ke kampus itu bagi mengukuhkan lagi penyelidikan universiti.

“Kita bercakap tentang pengantarabangsaan tetapi kita ‘bocor’ (kurang) mengambil pakar tersohor dari luar negara. Kita perlu membawa lebih ramai pakar ke dalam kampus kita.

“Contohnya bidang kejuruteraan mekanikal. Misalnya kita perlu mereka bentuk enjin, maka kita perlu membawa Profesor yang mahir dalam bidang itu. Jadi, kerjasama antara kepakaran yang sedia ada (pakar UKM) dan pakar tersohor dari luar negara dapat meningkatkan lagi bidang tersebut,” jelasnya selepas Majlis Bicara Perdana Naib Canselor 2019 bertemakan Kualiti Teras Kebitaraan Universiti di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR),  baru-baru ini.

Beliau berkata, pengambilan 26 Profesor tersohor dari luar negara akan dibuat pada tahun ini dan sekurang-kurangnya akan diberikan kontrak tiga tahun dengan kos sebanyak RM6 juta.

“Jadi dalam tempoh tersebut (tiga tahun), mereka boleh memohon geran penyelidikan dan kalau ada Profesor tersohor ini, lebih mudah untuk kita (UKM) menyediakan proposal untuk mendapatkan geran penyelidikan antarabangsa,” ujarnya.

Prof Ir Dr Mohd Hamdi turut menjelaskan bahawa pelantikan Profesor antarabangsa tersohor akan dilakukan oleh fakulti dan institut.

“Mereka (fakulti dan institut) lebih arif tentang kelebihan mereka dan bidang apa yang mereka mahu kembangkan.

“Kita akan memudahkan proses tersebut dan meningkatkan segala kemudahan yang ada. Buat masa ini, kita tidak ada peruntukan berapakan jumlah Profesor yang akan diambil oleh setiap fakulti dan institut kerana saiz setiap fakulti dan institut adalah berbeza.

“Ada fakulti yang besar dan ada fakulti yang kecil. Jadi, kita akan tengok keperluan bidang tersebut,” jelas beliau.

Berkenaan dengan kedudukan UKM (ranking), beliau tidak menyebut secara terperinci kerana beliau yakin kedudukan itu adalah melalui produk.

“Maknanya, kalau produk kita bagus atau hebat, secara automatik penarafam kita akan naik. Sudah tentu dalam hati kecil kita, kita mahu menjadi ahli kumpulan 100. Jika kita laksanakan pelan strategik dengan bagus, sudah tentu ia akan memberi kesan positif kepada penarafan kita,” katanya.

Prof Ir Dr Mohd Hamdi yang telah genap 100 hari mentadbir UKM berharap, semua warga UKM mengambil serius dengan pelan strategik yang telah dibuat dan melaksanakannya dengan bersungguh-sungguh.

“Saya berharap semua warga UKM termasuk pelajar bersama-sama melaksanakan pelan strategik ini. Jangan hanya warganya sahaja (kakitangan) tetapi pelajar perlu terlibat kerana mereka mereka yang menerima pelaksanaan itu. Mereka (pelajar) juga harus berubah.

“Jadi apabila kita bercakap menngenai transformasi, ianya berlaku di setiap peringkat, bukan hanya warga kerja UKM sahaja tetapi juga kepada pelajar,” katanya.