UKM Sedia Kaunseling Sokongan Kesihatan Mental dan Psiko-Sosial kepada Masyarakat menghadapi COVID 19 dan PKP

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 4 April 2020 – Bagi membantu masyarakat mengurangkan perasaan cemas, bimbang dan stres dalam menghadapi pandemik COVID-19 dan PKP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Unit Pakar Kesejahteraan Psikologi dan Kaunseling, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) telah menyediakan Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psiko-Sosial dalam talian bagi membantu masyarakat mendapatkan khidmat psiko-sosial.

Dr. Abdul Rahman Ahmad Badayai berkata perkhidmatan tersebut bertujuan untuk membantu masyarakat yang mengalami perasaan cemas, bimbang dan stres kerana terkesan dengan pandemik COVID-19 dan PKP.

“Perkhidmatan yang diberikan berasaskan prinsip Psychological First Aid sebagai respon awal kepada individu,” katanya.

Beliau berkata perkhidmatan itu turut ditawarkan kepada semua warga UKM termasuk pelajar dan juga masyarakat luar yang memerlukan perkhidmatan sokongan kesihatan mental dan psiko-sosial.

Perkhidmatan Sokongan Kesihatan Mental dan Psiko-Sosial mula diaktifkan pada 30 Mac 2020 hingga 17 April 2020. UKM turut mengalu-alukan para petugas barisan hadapan COVID-19 untuk sama-sama menggunakan perkhidmatan ini bagi mendapatkan sokongan psiko-sosial yang diperlukan ketika bertugas.

Orang ramai boleh menghubungi talian Hotline 03-20225525 setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 9 pagi hingga 6 petang untuk mendapatkan khidmat sokongan kesihatan mental dan psiko-sosial. Petugas barisan hadapan yg terlatih dan pakar perunding yang bertauliah akan ditugaskan setiap hari bagi memberi khidmat sokongan kesihatan mental dan psiko-sosial untuk meredakan perasaan cemas, bimbang dan stres yang dihadapi oleh masyarakat.

UKM berharap khidmat yang diberikan ini akan memberi penyelesaian dan kelegaan terhadap kesan psikologi yang dihadapi oleh masyarakat akibat pandemik COVID-19 dan PKP yang dikuatkuasakan di negara kita semenjak 18 Mac 2020. Khidmat ini juga merupakan salah satu tanggungjawab UKM memanfaatkan kepakaran yang ada di UKM untuk membantu negara diwaktu penularan wabak COVID-19 ini.