UKM Sedia Makanan Percuma Kepada Pelajar yang Berada di Kampus


Oleh Asmahanim Amir
Foto oleh Pusat Hal Ehwal Pelajar

BANGI, 19 Mac 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Hal Ehwal Pelajar, Pusat Zakat UKM dan Pusat Perumahan Pelajar telah menyediakan bantuan makanan percuma kepada pelajar yang tidak pulang ke kampung halaman berikutan Perintah Kawalan Pergerakan yang telah dikeluarkan oleh Kerajaan Malaysia bermula 18 hingga 31 Mac 2020.

Bantuan makanan tersebut disediakan tiga kali sehari iaitu sarapan pagi, makan tengahari dan makan malam. Bagi kafetaria kolej yang tidak beroperasi, penyediaan makanan diuruskan oleh kafetaria berdekatan dan pihak kafetaria tersebut akan menghantar ke kolej-kolej yang berkenaan.

Makanan-makanan itu disediakan secara bungkusan (packed food) bagi mengelakkan pelajar perhimpunan di kafetaria kolej dan para pelajar digalakkan untuk menikmati hidangan di bilik masing-masing.

Seramai 1,279 daripada 13,542 pelajar termasuk pelajar antarabangsa tidak pulang ke kampung dan tinggal di 12 buah kolej kediaman di UKM Bangi dan Kampus Kuala Lumpur.