UKM-SEGi University Johan Bersama Kejohanan Kriket UKM Twenty20 Piala KPM 2019


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 19 November 2019 – Pasukan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan pasukan SEGi University telah dinobatkan Johan Bersama Kejohanan Kriket UKM Twenty20 Piala KPM 2019, apabila kedua-dua pasukan itu tidak dapat meneruskan perlawanan akhir kejohanan tersebut atas faktor cuaca dan keadaan oval yang tidak sesuai.

Jadi, pengarah teknikal kejohanan telah mengambil keputusan untuk mengisytiharkan kedua-dua pasukan (UKM dan SEGi University) adalah johan bersama.

Pemain terbaik telah dinobatkan kepada Anas Mahmood Malik dari SEGi University. Sepanjang kejohanan itu, beliau telah membuat sebanyak 159 larian dan tiga wicket.

Tempat ketiga telah dimenangi oleh UiTM, manakala tempat keempat disandang oleh MMU.

Kejohanan kali ini adalah edisi ke-10 dan tahun ini adalah tahun kedua kejohanan yang menggunakan sepenuhnya lokasi perlawanan di UKM-YSD Oval.

Sebanyak lapan pasukan telah mengambil bahagian iaitu UKM, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Multimedia (MMU), University of Nottingham (Malaysia), Taylor’s University (Malaysia) dan SEGi University.

Hadiah-hadiah kepada pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Ir Dato’ Dr Othman A. Karim. Turut hadir adalah Ketua Penolong Setiausaha Kanan Unit Sukan, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Dasar dan Penyelarasan Dasar KPM, Dr Pekan Ramli.