UKM Serah 5,000 Set PPE kepada Barisan Hadapan HTJS


Oleh Asmahanim Amir
Foto ikhwan Hashim

BANGI, 20 Mei 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalu Fakulti Sains Sosial dan Kemanuaisaan (FSSK) telah menyerahkan 5,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) iaitu tudung, baju dan sarung kaki kepada barisan hadapan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) melalui kutipan dana sebanyak RM24,420 untuk projek Kutipan Sumbangan Amal FSSK untuk frontliners COVID-19.

Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri, Alumni dan Masyarakat, Prof. Dato’ Dr. Imran Ho Abdullah berkata dana untuk projek tersebut telah berjaya dikumpul dalam tempoh tujuh hari bermula pada 15 April hingga 21 April yang lepas dan ia telah melepasi sasaran awal iaitu sebanyak RM20,000.

“Syabas dan tahniah juga atas keprihatinan rakan industri yang terpanggil untuk sama-sama berganding bahu menjayakan projek ini.

“Dengan kerjasama erat antara UKM dengan Islamic Relief Malaysia (IRM) yang telah menaja sebanyak 4,000 set peralatan perlindungan diri (PPE) dari material Non-Woven, Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP), Bangi yang menjahit 1,000 set sarung kaki (boots) dan syarikat AQ Reka Sdn Bhd yang merupakan syarikat jahitan tempatan yang turut menaja sebahagian kos jahitan set PPE ini, ia dapat membantu fronliners kita,” katanya.

Beliau berkata projek tersebut tidak akan dapat dijalankan dengan jayanya sekiranya tiada kerjasama daripada rakan industri tersebut.

“Kerjasama ini wajar menjadi titik permulaan untuk berganding bahu dan meneruskan inisiatif projek-projek bantuan kemanusiaan yang memberi impak kepada masyarakat dalam menangani COVID-19 di masa-masa akan datang,” katanya.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Dekan FSSK, Prof Hazita Azman, Pengarah HTJS, Dr. Zaleha Md Noor, Pengarah IRM, Tuan Haji Zairulshahfuddin dan Penagarh PLPP, Ismail Kasan.