UKM Sumbang Kepakaran Bantu SMK Pendidikan Khas Setapak


Oleh Asmahanim Amir
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 16 Oktober 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) mengadakan kerjasama dengan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak dalam memberi bantuan kepakaran dan pendedahan dalam memperkasakan guru untuk lebih memahami keperluan pelajar cacat penglihatan.

Pengarah UCTC, Prof Datuk Dr Rokiah Omar berkata, UKM akan menyumbang kepakaran dari segi keperluan pembelajaran, learning space dan juga keperluan revolusi perindustrian 4.0 (4IR) dalam pendidikan cacat penglihatan.

“Contohnya penggunaan teknologi iaitu bagaimana menggunakan kanta pembesar, CCTV (kamera litar tertutup) dan bagaimana nak mengintegrasikan proses pengajaran dan pembelajaran.

“Kita juga akan mengadakan kursus kepada guru-guru tentang keperluan anak-anak berkeperluan khas supaya cikgu lebih memahami apa yang boleh buat dan apa yang tak boleh buat. Contohnya, bagaimana penggunaan warna dapat membantu pembelajaran dan pengajaran di dalam kelas dan sebagainya,” katanya pada Majlis Menandatangani Surat Hasrat (LoI) antara UKM dan SMK Pendidikan Khas Setapak di sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Majlis itu juga diadakan bersempena Hari Penglihatan Sedunia disambut di seluruh dunia pada hari Khamis minggu kedua bulan Oktober setiap tahun.

Prof Datuk Dr Rokiah berkata, kerjasama itu bukan hanya melibatkan UCTC dan Program Optometri, tetapi juga Program Senibina yang sedang menjalankan projek menaiktaraf kafe untuk living lab di sekolah tersebut.

“Kita telah menerima bajet sebanyak RM30,000 dari penderma dan pakar senibina kita telah membuat design untuk jadikan makmal kepada kafe. Apabila siap kelak, kafe tersebut akan dijadikan pusat praktikal dan vocational training. Kita juga akan menaik taraf reka bentuk bilik darjah,” katanya.

Beliau berkata, UKM juga akan membantu pihak sekolah untuk mendapatkan peralatan baru, ruang belajar yang lebih kondusif untuk pelajar-pelajar masalah penglihatan.