UKM Tangga Ke-4 Universiti di Asia Tenggara


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 September 2018 – Menjangkau usia 50 tahun, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus cemerlang apabila berada di kedudukan keempat universiti di Asia Tenggara dalam QS World University Rankings 2019 yang diumumkan baru-baru ini.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata, kejayaan itu adalah hadiah kemerdekaan Malaysia kerana penubuhan UKM adalah sebahagian daripada proses perjuangan kemerdekaan negara.

“Saya percaya dalam konteks kepimpinan, pentadbiran, pensyarah, pegawai, pelaksana dan paling penting semangat semua pelajar UKM yang begitu hebat sekali adalah penumbang terbesar kejayaan ini. Tahniah kepada semua,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Sambutan Hari Malaysia Peringkat UKM 2018.

Beliau berkata, sebagai sebuah universiti awam, sudah menjadi tugas dan tanggungjawab UKM untuk menggalas serta menjadi nadi dan tenaga penggerak utama dalam arus pembangunan negara.

“Kita juga harus menggembleng tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan mahasiswa yang berjiwa patriotisme serta kental semangat nasionalisnya,” ujarnya.

Beliau berkata, sudah sampai masanya generasi muda hari ini terutamanya mahasiswa UKM didedahkan dengan peranan mereka sebagai mahasiswa di sebuah universiti kebangsaan dan menghayati sumbangan bermakna yang telah diukir oleh ramai tokoh terdahulu.