UKM Tawar 4,107 Tempat Kepada Pelajar Baharu


Oleh Asmahanim Amir
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 3 Sept 2018 – Sebanyak 4,107 tempat telah ditawarkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kepada pelajar-pelajar yang layak untuk pengikuti pengajian Ijazah Sarjanamuda bagi Sesi Akademik 2018-2019.

Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Seri Dr Noor Azlan Ghazali berkata,  untuk tahun ini, sebanyak 38,115 orang telah memohon untuk melanjutkan pengajian ke UKM, dengan 8,649 permohonan adalah pilihan pertama.

“Kita berbangga kerana UKM sentiasa menjadi pilihan pelajar melanjutkan pengajian. Seperti mana pada tahun lepas, tahun ini juga UKM adalah antara universiti yang menerima permohonan pilihan pertama paling tinggi,” katanya sempena Sidang Media Pendaftaran Pelajar Baharu Sesi 2018-2019 di Kolej Burhanuddin Helmi di  sini.

Beliau berkata, buat pertama kalinya, tahun ini UKM telah menerima pelajar sulung untuk program Ijazah Sarjanamuda Sains Citra dengan Kepujian seramai 100 orang.

“Kita berbangga kerana memerima lebih 500 permohonan untuk program ini (Sains Citra). Program ini adalah program pertama seumpamanya di Malaysia yang membolehkan pelajar-pelajar memilih subjek yang mereka hendak ikuti berdasarkan minat masing-masing,” katanya.

Selain itu beliau menambah, buat pertama kalinya UKM turut menerima tujuh orang pelajar dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bagi mengikuti program IJazah Sarjanamuda undang-undang dengan Kepujian di Fakulti Undang-Undang.

Kerjasama antara UKM dan UPNM itu adalah collegiality atau kerjasama strategik bagi melahirkan graduan ketenteraan dengan latar belakang perundangan.

Beliau turut memberitahu,  seramai 24 atlet sukan negara dalam pelbagai acara turut mendaftar di Fakulti Pendidikan (FPEND).

Lapan atlet berbasikal, lapan atlet bola tampar dan lapan atlet golf telah mendaftar di FPEND.

Seramai sembilan atlet Sukan Malaysia (SUKMA) dalam pelbagai acara akan mendaftar di fakulti berkenaan selepas tamatnya SUKMA 2018 yang akan berlangsung di Perak.