UKM Tawarkan Ijazah Sarjanamuda Sains Citra, Fokus kepada Industri 4.0


Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melakar sejarah apabila menawarkan kursus baharu iaitu Ijazah Sarjanamuda Sains Citra, yang merupakan kursus pertama yang memberi peluang kepada pelajar untuk mengikuti satu bentuk struktur pengajaran yang lebih fleksibel dan interdisiplin.

Kursus tersebut adalah sangat unik kerana direka bagi menjawab kekhuatiran masyarakat terhadap kebolehpasaran graduan dalam menghadapi Revolusi Industri ke-4.

Ijazah Sarjanamuda Sains Citra dikendalikan dengan cara pelajar sendiri yang membina dan mencipta bidang penumpuan mereka sendiri bersesuaian dengan matlamat kendiri dan kerjaya.

Pelajar yang mengikuti program pengajian tersebut akan mengikuti pembalajaran di bawah kaedah 2u2i, yang bermaksud pelajar hanya perlu belajar selama dua tahun di universiti dan dua tahun lagi di industri.

Program itu adalah pembelajaran berasaskan pekerjaan (work based learning) untuk meningkatkan ketersediaan pelajar untuk memasuki industri setelah tamat pengajian kelak.

Kursus ini diharapkan dapat menghasilkan graduan yang dilengkapi dengan pelbagai kemahiran berbanding dengan program konvensional yang hanya fokus kepada satu bidang kepakaran sahaja.

Program Ijazah Sarjanamuda Sains Citra ditawarkan melalui pendekatan Juke Box atau Buffet Curriculum   kerana ia adalah sangat fleksibel, inklusif (kepelbagaian individu), merentas disiplin, merentas fakulti, menjangkaui kampus dan sempadan.

Penyampaian pengajaran berpusatkan pelajar iaitu daripada 100 peratus jumlah jam pembelajaran, 70 peratus daripadanya ialah belajar kendiri, 25 peratus ialah pembelajaran bersemuka dan 5 peratus pentaksiran.

Sebelum pelajar mengikuti kursus ini, pelajar perlu mengikuti ujian psikometrik bagi mengetahui kecenderungan mereka dalam menentukan bidang penumpuan yang akan mereka pilih.

Untuk ambilan pertama, seramai 100 pelajar akan dipilih mengikuti program ini yang akan memulakan sesi pengajian pada September ini.