UKM Terima 714 Pelajar Baharu Pascasiswazah Semester 2 Sesi Akademik 2019/2020


Oleh Mohamad Arif Haziq Mohamad Musri
Gambar Izwan Azman

BANGI, 26 Februari 2020 – Universiti Kebangsaan Malaysia telah menerima 714 pelajar baharu program pascasiswazah bagi semester 2 sesi akademik 2019/2020.

Daripada jumlah itu, seramai 92 pelajar adalah pelajar antarabangsa dari pelbagai negara termasuk Sri Lanka, India dan Indonesia manakala selebihnya adalah pelajar tempatan.

Semua pelajar tersebut telah menghadiri Hari Informasi Pascasiswazah (HIP) yang diadakan khas kepada pelajar baharu pascasiswazah bagi memberi pendedahan tentang kemudahan yang terdapat dalam kampus UKM serta pemakluman berkenaan bengkel, syarahan umum serta forum yang dianjurkan oleh Pusat Siswazah UKM dalam membantu para pelajar menyediakan rancangan penyelidikan, kajian literatur, menganalisis data, penerbitan dan persediaan untuk viva.

Sewaktu menyampaikan ucapan pada HIP 2020, Naib Canselor, Prof Dato’ Ir D. Mohd Hamdi Abd Shukor berharap agar lebih ramai lagi pelajar antarabangsa mendaftar di UKM supaya nama UKM lebih dikenali lagi di seluruh dunia

Beliau turut memberi nasihat kepada pelajar pascasiswazah agar tidak memalsukan kerja dan berusaha dengan bijak dan kuat dalam menghabiskan pengajian di UKM.

Dalam ucapan tersebut, beliau juga menyentuh mengenai nilai yang diterapkan di UKM iaitu Keserakanan, Akauntabiliti, Merit, Inovatif dan Integriti (KAMII).

Prof. Dato’ Ir Dr Mohd Hamdi meluangkan masa untuk menjawab beberapa persoalan mengenai pengurusan universiti yang dikemukan oleh pelajar baharu ketika sesi soal jawab.