UKM Terima Dua Anugerah di Majlis Anugerah Kolaborasi AKPK


Oleh Asmahanim Amir
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 2 Disember 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menerima dua anugerah di Majlis Anugerah Kolaborasi AKPK 2019 (Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit) yang telah diadakan baru-baru ini.

Anugerah tersebut adalah Anugerah Kolaborasi Terbaik Universiti yang dimenangi oleh Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Anugerah Penglibatan Jurulatih Terbaik yang diberikan kepada Pro. Madya Dr Wan Amizah Wan Mahmud, Pensyarah dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Pensyarah Kewangan FEP, yang juga Ahli Jawatankuasa MoU UKM-AKPK, Prof Madya Dr Hawati Janor berkata, UKM telah menjalankan beberapa aktiviti bersama AKPK yang telah menyumbang kepada kejayaan tersebut.

“Aktiviti yang dijalankan melibatkan tiga komponen utama iaitu pengajaran, penyelidikan dan khidmat untuk industri atau komuniti.

“Untuk pengajaran, UKM telah membentuk dan menawarkan Kursus CITRA UKM iaitu Asas Kewangan Peribadi yang menggunakan modul pendidikan kewangan AKPK. Kursus ini ditawarkan setiap semester bermula tahun 2017 dan ia merupakan kursus elektif yang dibuka kepada semua pelajar,” katanya.

Beliau berkata, bagi kursus tersebut, semua tenaga pengajar perlu melalui Training of trainers (ToT) yang dikendalikan oleh AKPK dan warga AKPK juga dijemput sebagai penceramah jemputan.

Selain itu katanya, UKM juga sangat aktif menyertai beberapa program bersama AKPK seperti Program Social Business Literacy for Youth (Selfy) dan Program Kembara Bijak Wang 2019/Treasure Hunt.

Melalui penyelidikan pula, Prof Madya Dr Hawati berkata, beliau sendiri telah dilantik sebagai panel penasihat kepada tiga National Research Projects AKPK 2019 untuk topik literasi dan kesejahteraan kewangan.

Majlis Anugerah Kolaborasi telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam ucapannya, beliau menekankan betapa pentingnya usaha kolaborasi sebegini diperluaskan lagi demi memperkasakan literasi dan kesejahteraan kewangan rakyat secara menyeluruh.

Majlis anugerah itu bertujuan untuk mengiktiraf rakan pintar AKPK yang membantu perjalanan program pendidikan kewangan, kaunseling kewangan dan program pengurusan kredit AKPK serta mereka yang membantu mempromosikan AKPK melalui pelbagai kandungan media.