UKM teruskan tradisi lancar misi bantuan kepada mangsa banjir

Oleh Nur Syafawati Mohd Kahar

Foto Izzwan Azman

BANGI, 11 Januari 2021 – Skuad Misi Bantuan Kasih Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah memulakan perjalanan ke lokasi pertamanya di Kuala Krai, Kelantan, pada hari ini untuk memberi bantuan kepada 300 buah keluarga yang terjejas akibat banjir di sana.

Bantuan berbentuk sumbangan wang tunai, barangan keperluan asas seperti beras, gula, tepung dan sebagainya adalah hasil sumbangan dan keprihatinan warga UKM yang terdiri dari staf, pelajar dan alumni.

Naib Canselor UKM, YBhg. Prof. Dato’ Dr. Mohd Ekhwan Hj Toriman berkata usaha untuk mengumpul sumbangan bagi misi bantuan ini telah dimulakan sejak 22 Disember 2020 yang lalu dengan jumlah keseluruhannya mencecah hampir RM15,000.

“Saya amat bangga dengan keprihatinan warga UKM yang telah memberi sumbangan. Diiharapkan keprihatinan dan usaha murni warga UKM dan alumni ini akan berterusan dalam membawa aspirasi UKM untuk terus berbakti kepada masyarakat yang memerlukan,” katanya.

Misi tersebut adalah inisiatif Pusat Perhubungan Alumni UKM dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Fakulti Pengajian Islam (FPI), UCTC, Pusat Islam, Prasarana-UKM dan Jabatan Bendahari.

Fasa pertama misi tersebut akan bergerak dengan lima buah kenderaan termasuk sebuah lori dari Prasarana-UKM ke Kelantan dan seterusnya ke negeri Pahang yang merupakan antara negeri paling teruk terjejas dengan bencana banjir pada tahun ini.

Para sukarelawan dan warga UKM yang terlibat dalam misi ini akan sentiasa menjaga SOP yang ditetapkan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan mengutamakan keselamatan diri yang tinggi.