UKM-TSIS Mantapkan Penyelidikan Kesarjanaan Islam


Oleh Asmahanim Amir
Foto ikhwan Hashim

BANGI, 3 Jun 2019 – Bagi memartabatkan korpus keilmuan kesarjanaan Islam di Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Pengajian Islam (FPI) telah menjalankan kerjasama dengan Terengganu Strategic and Integrity Institute (TSIS) dalam menjalankan penyelidikan yang menumpukan kepada pemikiran dan pendekatan fiqh siyasah Dato’ Seri Abdul Hadi Awang.

Kajian tersebut meliputi bidang ekonomi, perundangan, hubungan antarabangsa politik di Malaysia dengan peruntukan dana kewangan sebanyak RM96,600 yang dibiayai oleh TSIS untuk tempoh dua tahun.

Pro-Naib Canselor (Penjanaan dan Prasarana), Prof Dato’ Dr Noor Ghani Md Nor berkata, jalinan kerjasama itu bertujuan untuk mengeratkan lagi jaringan penyelidikan antara FPI UKM dengan TSIS berkaitan dengan Turath Islami.

“Justeru, kerjasama sinergis secara langsung antara kedua-dua institusi ini melalui perkongsian keilmuan, kepakaran dan pengalaman diharapkan dapat direalisasikan melalui kajian yang akan dijalankan,” katanya semasa menyampaikan ucapan pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara UKM dan TSIS di Bilik Mesyuarat Sarjana, Fakulti Pengajian Islam (FPI), baru-baru ini.

Katanya, harapan beliau supaya dana yang diberikan akan dapat menghasilkan lebih banyak lagi penyelidikan yang berimpak tinggi kepada korpus ilmu Pengajian Islam yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Penyelidikan yang diketuai oleh Prof Madya Dr. Latifah Abdul Majid dengan tajuk Pendekatan Fiqh Siyasah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam Bidang Ekonomi, Perundangan, Hubungan Antarabangsa dan Politik di Malaysia akan menggabungkan kepakaran para penyelidikan dari FPI dan TSIS.