UKM, Universiti Berusia Bawah 50 Tahun Terbaik di Malaysia


Oleh Dr. Sabariah Mohamed Salleh

BANGI, 21 Jun 2018 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah dinobatkan sebagai universiti berusia bawah 50 tahun yang terbaik di Malaysia dalam penarafan QS, baru-baru ini.

Menduduki tangga ke 12 di dunia (untuk penarafan universiti terbaik di bawah usia 50 tahun), UKM amat berbangga dengan pencapaian kedudukan terbaik semenjak ia ditubuhkan pada 1970.

Pencapaian ini, menurut Naib Canselor UKM Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan Ghazali, adalah hadiah istimewa buat semua rakyat Malaysia.

UKM ditubuhkan 48 tahun yang lalu pada 18 Mei 1970 (dan akan menjangkau 50 tahun pada 2020), hasil daripada dukungan jitu dan aspirasi rakyat.

“Aspirasi kebangsaan itu terus tersemai mekar dalam jiwa seluruh warga UKM. Kecemerlangan universiti semestinya sentiasa dipacu oleh keutuhan kesarjanaan yang mampu memberi dampak kepada masyarakat,” tambah beliau.
Menurut Prof Tan Sri Datuk Seri Dr Noor Azlan lagi, penarafan (ranking) global hanyalah sebahagian kecil matlamat UKM, yang sebenarnya memiliki misi lebih besar.

“Pencapaian ini adalah manifestasi bahawa UKM berada pada landasan yang betul.

“UKM berpendapat kejayaan ini perlu terzahir dan dirasai oleh semua pemilik berkepentingan seperti rakyat, kerajaan, industri dan para sarjana,” kata beliau.
Pencapaian ini juga meletakkan UKM dalam liga universiti global terbaik.

“UKM akan terus menilai pencapaian dengan universiti terbaik dunia tanpa mengabaikan misi kebangsaan.

“UKM berazam untuk kekal relevan kepada masyarakat dan negara serta menyerlah di persada antarbangsa. Untuk tujuan ini, warga UKM – para sarjana, mahasiswa serta pegawai pengurusan dan pelaksana perlu sederap bergerak bersama,” tambahnya.

Warga UKM, menurut beliau, turut mengalu-alukan sokongan berterusan kerajaan baharu dalam memartabatkan pendidikan tinggi negara.

“Kami menyahut imbauan YB Menteri Pendidikan, Dr. Maszlee Malik untuk mengimbangi kecemerlangan kesarjanaan dengan kecemerlangan kemanusiaan yang termaktub kukuh dalam misi UKM.

“Universiti ini adalah milik negara, denyut nadinya adalah denyut nadi Malaysia, bukan UKM semata-mata,” kata beliau.