UKM, Universiti Pertama Mereka Cipta Peranti Arah Kiblat Mudah Alih, InnoQibla


Oleh Asmahanim Amir dan Nur Inaara Aznan
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 13 Februari 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) melalui Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) adalah universiti pertama yang telah menfailkan harta intelek iaitu penentu arah kiblat mudah alih dengan inovasi terkini yang dinamakan InnoQibla.

InnoQibla telah dihasilkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Prof Madya Ir Dr Norhana Arsad dari Pusat Kejuruteraan Elektronik & Komunikasi Terkehadapan (PAKET), FKAB.

Prof Madya Ir Dr Norhana berkata, penghasilan teknologi itu telah bermula pada tahun 2012 selepas melihat cara kerja kaedah sedia ada yang dilakukan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dalam menentukan arah kiblat di surau bangunan pentadbiran FKAB.

“Melihatkan tatacara itu, kami mula melakukan penyelidikan dan telah membangunkan satu prototaip yang memindahkan arah kiblat dari luar ke dalam bangunan menggunakan laser. Projek penyelidikan ini telah mendapat beberapa dana termasuklah Dana Inovasi UKM yang diuruskan oleh Pusat Inovasi Kolaboratif (PIK),” katanya.

Beliau berkata, inovasi InnoQibla yang menggunakan teknologi Mikroelektromekanikal (MEMS) bagi mengesan utara benar mengikut putaran bumi iaitu arah sepanjang permukaan bumi ke arah Kutub Utara geografi, dihasilkan bagi membantu meringankan dan memudahkan pihak JAKIM serta Jabatan Mufti Negeri dalam penandaan arah kiblat di dalam bangunan.

“Sebelum ini pengukuran dan penandaan arah kiblat dilakukan di lapangan menerusi penggunaan teodolit dengan kaedah pencerapan matahari.

“Sistem ini dibangunkan bukanlah bertujuan untuk mengatasi ilmu falaq dan teodolit yang sememangnya mempunyai tahap kejituan serta ketepatan yang tinggi, tetapi ia dilihat sebagai satu alternatif dalam proses pencarian arah kiblat dengan lebih cepat dan mudah,” jelasnya.

Beliau menerangkan bahawa InnoQibla hanya mengambil masa kira-kira 10 minit dalam menentukan arah kiblat manakala kaedah sedia ada akan mengambil masa bergantung kepada cuaca semasa.

Beliau berkata, aplikasi arah kiblat di telefon bimbit dan kompas mudah terganggu dengan medan elektromagnet dan menyebabkan ia bergerak tanpa arah sebenar.

‘Kejituan bacaan arah kiblat adalah sangat penting kerana pesongan satu darjah daripada arah penentuan di Malaysia boleh menyebabkan pesongan 122 kilometer daripada kedudukan sebenar Kaabah,’ jelasnya.

Katanya, produk InnoQibla ini mendapat kerjasama dengan JAKIM dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) bagi pengesahihan keberkesanan penentuan arah kiblat seiring dengan penggunaan teodolit dan telah diuji di tiga lokasi terpilih iaitu Pulau Pinang, Kelantan dan Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Hasilnya amat memuaskan kedua-dua pihak JAKIM dan JUPEM. Tiga lagi ujian lapangan akan dilakukan di Sabah, Sarawak dan Johor tidak lama lagi seperti yang diperlukan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Reka cipta tersebut telah berjaya dikomersialkan melalui perlesenan teknologi kepada Syarikat Istidamah Resources Sdn Bhd melalui UKM Technology Sdn Bhd dengan bantuan PIK.