UKM Tangga Ke-160 Terbaik Dunia

Oleh Asmahanim Amir

BANGI, 19 Jun 2019 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) terus gemilang di persada antarabangsa apabila menduduki tangga ke 160 terbaik dunia dalam penarafan Quacquarelli Symonds (QS) World University Ranking 2019/2020 yang diumumkan semalam.

Peningkatan sebanyak 24 anak tangga dan dengan markah keseluruhan 48.3 itu meletakkan UKM kekal berada dalam kategori satu (1) peratus universiti teratas di dunia.

Ukuran yang digunakan QS untuk menilai universiti di dunia adalah berdasarkan reputasi akademik, reputasi majikan, nisbah fakulti antarabangsa (international faculty), nisbah pelajar fakulti (faculty student), sebutan bagi setiap fakulti (citations per faculty) dan wajaran keseluruhan.

Kejayaan ini menunjukkan peningkatan yang konsisten dan mantap dalam pengiktirafan UKM sebagai salah satu universiti terkemuka di Malaysia dalam pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan, inovasi dan pengantarabangsaan.